PUTRAJAYA, 21 Mei -Media…..Lebih 84 orang pengamal media membabitkan 21 kenderaan menyertai program mencari harta karun “Kembara Media KDN” dari sini ke Kuala Lumpur hari ini.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Zukri Valenteno berkata program itu menjadi platform memperkenalkan dasar, fungsi dan peranan kementerian kepada orang ramai, selain mengeratkan hubungan dengan pihak media.

“Sepanjang perjalanan, peserta perlu menjawab soalan mengenai KDN dan perlu merujuk laman web KDN dan sebagainya bagi mendapatkan jawapan yang betul. Ini sekali gus meningkatkan lebih pengetahuan mengenai kementerian,” katanya selepas melepaskan peserta program itu.

Menurutnya program yang julung kali diadakan itu melibatkan peserta dari pelbagai organisasi media antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama News Channel, Media Prima, Astro Awani, Malay Mail, The Sun, Sinar Harian, The Star, Utusan Malaysia dan Focus Malaysia.

Acara penutup program itu akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur petang ini.

Zukri berkata KDN berhasrat untuk menjadikan program itu sebagai acara tahunan jika mendapat maklum balas positif daripada pengamal media yang terlibat. – WD MY