IPOH, 5 OKT – HARAM…. Kementerian Kesihatan mengalu-alukan sebarang usaha atau tindakan mengharamkan promosi dan penjualan vape atau rokok elektronik dalam talian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata ia kerana pihaknya memandang serius masalah penagihan rokok elektronik itu dan bersetuju terhadap sebarang usaha bagi mengurangkan penjualannya.

“Ketika ini kita sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan bagi mereka yang menjual cecair rokok elektronik yang mempunyai nikotin kerana ia dilarang mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ini usaha yang berterusan untuk kita menyekat mereka yang menjual cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Seminar Keperluan Khas Sepanjang Hayat di Hospital Fatimah, di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mempertimbang untuk mengharamkan promosi dan penjualan rokok elektronik dalam talian.

Menterinya, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan dan SKMM.

Dr Boon Chye juga berkata, kerjasama akan dijalankan secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi memastikan penjualan rokok elektronik tidak berleluasa terutama kepada kanak-kanak. – WD MY