KUALA LUMPUR, 7 Nov – Patuhi Kewangan……. Pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan perlu memastikan satu sistem lebih teratur dan lebih baik berdasarkan Tatacara Kewangan dipatuhi bagi mengurangkan risiko pembaziran serta penyelewengan dalam acara yang mereka anjurkan setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Hasan Arifin, PAC turut mencadangkan supaya ‘time-based’ kontrak tidak lagi dibuat kerana ia memudahkan kontraktor memanipulasi pembayaran.

“Pelaksanaan kontrak perlu dilaksanakan berdasarkan tatacara pengurusan kontrak dan pengurusan kewangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara perkara yang diteliti PAC ialah pengurusan pembayaran, spesifikasi bekalan dan perkhidmatan, pemilihan lokasi acara, pelantikan kontraktor, pengisian acara dan kelemahan dalam pemantauan projek.

Hasan berkata, PAC turut berpandangan penyediaan laporan oleh Jabatan Audit Negara dalam isu berkenaan perlu lebih menumpukan kepada bajet dan dibuat secara objektif.

Katanya, PAC memandang serius pegawai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang tidak mematuhi tatacara kewangan dalam setiap acara dianjurkan kementerian itu.

“Tindakan tegas perlu diambil oleh kementerian bagi memastikan prosedur pematuhan tatacara kewangan itu dipatuhi,” katanya. – WD MY