JOHOR BAHARU, 3 Nov – Kementerian Pendidikan akan menyiasat
sebuah video klip menunjukkan seorang pelajar perempuan memeluk seorang
pelajar lelaki dipercayai kekasihnya dalam pakaian sekolah, yang tersebar luas
di laman sosial sejak semalam.

Timbalan Menterinya, P.Kamalanathan, berkata beliau kecewa dengan tindak
tanduk pelajar itu walaupun beliau secara rasmi belum melihat video berkenaan.

“Saya mendengar mengenainya dari seorang sumber dan saya fikir saya perlu
melihatnya segera bagi memudahkan siasatan,” kata beliau kepada media sejurus
melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3, di sini
hari ini.

Kamalanathan berkata, setakat ini, pihaknya belum lagi dapat mengenal pasti
lokasi video itu dirakamkan dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat,
tampil ke hadapan memaklumkannya kepada kementerian.

“Hanya selepas itu kita tahu jenis tindakan yang akan diambil terhadap
mereka,” kata.

Video berdurasi 15 saat yang menampakkan kedua-dua pelajar itu berpeluk dan
bercium, dipercayai dirakam oleh pelajar-pelajar lain di sebuah sekolah menengah
namun tidak dinyatakan tarikh aksi dirakam dan lokasi sekolah yang terlibat.

Kamalanathan berkata, insiden itu berlaku berkemungkinan disebabkan
anak-anak terlalu terdedah dengan pelbagai perkara termasuk suasana kehidupan
yang berlainan.

“Apabila hidup dalam suasana yang berlainan dari zaman dahulu, ibu bapa
perlu membimbing anak-anak mereka dengan baik dan membimbing itu bukan sahaja
tanggungjawab guru, malah semua pihak,” tambahnya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY