KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Bulan Ogos merupakan bulan yang bermakna untuk setiap rakyat Malaysia kerana ia merupakan bulan Kemerdekaan yang kita kecapi hasil usaha dan titik peluh pejuang-pejuang yang mana berjuang meastikan kita mengecapi kemerdekaan dan keamanan.

Kemerdekaan yang dikecapi kini diperolehi selepas melalui ranjau yang penuh dengan duri dalam tempoh yang amat panjang. Semangat dan pengorbanan para pejuang lalu harus dijadikan tauladan untuk kita menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta.

Melalui filem “Bukit Kepong” mengisahkan kesetiaan dan pengorbanan 25 anggota polis mempertahankan tanah air tercinta menentang 180 anggota komunis pada tahun 1950 dan filem ini turut mendapat kerjasama pihak PDRM ketika penggambaran dijalankan lebih 30 tahun yang lalu. Filem “Bukit Kepong” berjaya meraih 7 anugerah termasuk Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke – 3.

Keupayaan Kumpulan Syarikat KRU melalui United Studios Sdn Bhd dan Prodigital Lab Sdn Bhd telah membuat pelaburan dari segi pemasaran serta menjalankan kerja-kerja restorasi digital bagi visual dan audio filem “Bukit Kepong”. Kerja-kerja rumit ini telah dihasilkan dengan penuh teliti dan filem ini akan ditayangkan semula di pawagam-pawagam tertentu pada 27 Ogos 2015 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-58.

“Bukit Kepong” bukan saja dinaik taraf ke kandungan definisi tinggi (HD). Prodigital Lab turut meningkatkan kualiti warna untuk tampak seolah-olah “Bukit Kepong” baru menjalani penggambaran semalam. Selain dari itu, mutu audio juga dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan lipsync audio asal dengan visual, noise reduction serta penambahan kesan khas bunyi.

Pendigitalan kandungan kreatif seperti “Bukit Kepong” ini bukan saja meningkatkan kualiti bagi tujuan pengkomersilan dan pengedaran semula, ianya juga menjimatkan kos pengarkiban dan yang lebih penting memelihara khazanah seni tempatan untuk tontonan dan rujukan di masa-masa yang akan datang.

Kumpulan Syarikat KRU dan Polis Diraja Malaysia pada awal bulan Jun telah mengumumkan kerjasama strategik bersempena tayangan filem “Bukit Kepong” versi digital definisi tinggi pada bulan kemerdekaan ke-58. Memorandum persefahaman yang dimeterai di Bukit Aman, Kuala Lumpur bertujuan untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan tayangan amal, tayangan perdana serta tayangan awam filem “Bukit Kepong” bagi mengisi Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia.

Lagu “Bahtera Merdeka” merupakan tema bagi filem ini yang telah menerima sentuhan komposer nombor 1 negara, Edry Abdul Halim. Lagu ini didendangkan semula oleh One Forteen dan Balqies.

Filem penuh sejarah ini sarat dengan mesej patriotisme dan adalah besar harapan kami agar filem ini akan menimbulkan penghayatan kemerdekaan di kalangan generasi muda sekaligus menghargai sumbangan besar anggota polis dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara kita yang tercinta. – Sharini Abdulah, (WD MY)

LEAVE A REPLY