KEMEROSOTAN UNDI PKR

KEMEROSOTAN UNDI PKR

721
0

KUALA LUMPUR, OGOS 6:UNDI…Kemerosotan undi diterima PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis disifatkan sebagai petunjuk jelas protes dalam kalangan pengundi khususnya atas pagar terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu juga dilihat sebagai satu suntikan dan kemenangan moral kepada Barisan Nasional (BN), meskipun calon mereka Datuk Lokman Noor Adam tewas dengan majoriti 5,842 undi kepada Mohd. Zawawi Ahmad Mughni daripada PKR.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya kemerosotan jumlah yang keluar mengundi menjadi salah satu indikator terhadap penolakan kerajaan PH yang didakwa beliau gagal menunaikan manifesto pilihan raya dan menghentikan tindakan mencabar Islam serta orang Melayu.

“Walaupun BN kalah, tetapi protes rakyat telah ditunjukkan dengan kehadiran mengundi yang rendah. Kemerosotan undi diterima calon PH juga me­nunjukkan golongan atas pagar, malah penyokong mereka dalam kalangan pengundi muda tidak keluar mengundi sebagai protes,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor menegaskan, yang lebih penting, PRK Sungai Kandis telah memperlihatkan kerjasama antara Pas dengan UMNO.

Beliau percaya, perkara itu merupakan permulaan yang baik kepada kerjasama lebih jitu pada masa akan datang demi memperkasakan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

“Walaupun kita tidak tahu jumlah ahli Pas yang menyokong calon BN tetapi sokongan secara terbuka kepemimpinan parti itu cukup jelas menggambarkan keikhlasan mereka untuk bekerjasama dengan UMNO demi keutuhan masa depan umat Islam dan Melayu yang semakin tercabar serta terhimpit di bawah kerajaan PH,” jelas beliau.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad pula percaya PRK ini menjadi titik-tolak kepada masa depan politik BN apabila bukan sahaja mengurangkan majoriti, tetapi turut menambah kemenangan di beberapa pusat daerah mengundi.

Kata beliau, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), BN hanya menang di dua pusat daerah mengundi (PDM) daripada 19 iaitu di Sungai Kandis dan Kampung Pandan.

Walau bagaimanapun, pada PRK kali ini, ujar Noraini, BN berjaya menang di empat PDM iaitu Johan Setia, Kampung Pandan, Seri Gambut dan Bukit Naga.

“Dari segi moral, ini menjadi titik-tolak penting untuk BN bersaing lebih sengit dalam siri PRK akan datang sehingga menjelang PRU-15. Ini menunjukkan aura BN sebagai parti yang masih memiliki masa depan tidak boleh diketepikan,” jelas beliau.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi akaun Twitter beliau malam tadi memberitahu me­nerima suatu kemenangan itu biasa tetapi menerima kekalahan adalah luar biasa.

“Yang penting bukanlah soal menang atau kalah tetapi bagaimana kita menghayati dan mengamalkan makna syukur dan sabar tatkala menerima kemenangan mahupun kekalahan,” ujar beliau.