KUALA LUMPUR: Tempoh kempen 21 hari bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang menjadi paling lama dalam sejarah PRK dilihat memberi kesan buruk walaupun membawa kebaikan kepada calon dan pengundi.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beberapa kesan buruk harus diberi perhatian di sebalik keghairahan kebaikan kerana dapat memberi masa yang mencukupi kepada parti-parti politik berkempen.

“Antara keburukannya adalah memenatkan dan memakan belanja yang besar kerana waktu berkempen lebih lama, sekali gus membabitkan penyertaan lebih ramai jentera pilihan raya.

“Keburukan lain adalah topik ceramah kempen akan dipelbagaikan lagi calon untuk meraih undi yang mungkin menyentuh kepada isu kontroversi yang semakin sensitif,” katanya.

Kempen yang panjang juga akan membuat pengundi merasa bosan selain memberi risiko kepada pelbagai kemungkinan lain.

“Justeru, saya berharap SPR dapat mengetatkan lagi pemantauan dalam masa kempen yang panjang ini walaupun ia mungkin dilihat bersesuaian dengan landskap politik hari ini,” tambahnya.-MY WD