Kemudahan Dan Teknologi ICT Bendung Gejala Rasuah Kata TPM Ahmad Zahid

Kemudahan Dan Teknologi ICT Bendung Gejala Rasuah Kata TPM Ahmad Zahid

1055
0

PUTRAJAYA, 8 Ogos – Maafaat…… Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata sesebuah jabatan dalam kerajaan perlu memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi urusan permohonan dan kelulusan sebagai elemen penting dalam membendung gejala rasuah.

Ahmad Zahid berkata, penggunaan sistem dalam talian juga dapat memberi keselesaan dalam perkhidmatan kepada rakyat dan memudahkan urusan.

“Gunakan teknologi permohonan atas talian, permudahkan permohonan, percepatkan kelulusan dan beri perkhidmatan terbaik kepada mereka agar persepsi daripada rakyat meningkat dan rasuah dapat diatasi,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap dalam majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Bacaan ikrar berkenaan oleh para kakitangan Jabatan Imigresen itu diketuai oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki.

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan perkhidmatan secara dalam talian dan penggunaan teknologi juga mampu mempercepatkan proses permohonan yang sebelum ini terpaksa dibuat secara bersemuka dengan kakitangan di pejabat yang mungkin mengakibatkan kesesakan apabila pelanggan ramai.

Beliau juga mahu JIM meningkatkan kebolehpercayaan rakyat sebagai agenda utama daripada bergantung kepada kedudukan berdasarkan indeks rasuah yang dibuat hasil kajian imperikal oleh agensi penarafan antarabangsa.

Beliau menasihatkan warga JIM supaya bertekad menolak sebarang pemberian atas tujuan tertentu kerana pada akhirnya, habuan tersebut akan menjadi perangkap yang akan memerangkap diri sendiri.

Ahmad Zahid turut memuji langkah, usaha dan pembaharuan yang dilakukan JIM sejak diketuai Mustafar apabila mula mengurangkan elemen sentuhan kemanusiaan dalam perkhidmatan tertentu seperti urusan mendapatkan dan memperbaharui pasport yang dilaksanakan secara dalam talian melalui MyOnline Pasport.

“Situasi di mana Imigresen sering dikaitkan dengan perbuatan negatif telah berubah selepas Datuk Seri Mustafar mengetuai JIM dan kita tahu dengan adanya beliau di sini yang datangnya dari SPRM, saya yakin beliau sendiri amat komited dalam sebarang usaha untuk membanteras rasuah,” katanya.

Mustafar yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM dilantik ke jawatan itu pada Ogos tahun lepas. – WD MY