KUALA LUMPUR, OKTOBER 8:KENAIKAN GAJI…Kenaikan satu gaji tahunan untuk penjawat awam seperti dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan diteliti semula sama ada ia wajar diteruskan atau sebaliknya.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata kajian mengenainya dilakukan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara ketika ini.

“Saya akan tengok balik perkara ini dan akan bawa ke pihak yang boleh membuat keputusan. Saya tak boleh nak komen, tetapi memandangkan dengan bebanan hutang (negara) yang tinggi, kita merasakan perkara ini perlu dilihat semula,” katanya..

Ditanya jangka masa yang diperlukan untuk kajian itu, beliau berkata, ia mungkin setahun atau dua tahun.

Pada April lalu, perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (Mappa XVI) di Putrajaya, mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk kira-kira 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Pemberian kenaikan gaji itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan tersebut melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

Pemberian itu bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018.-MY WD