SHAH ALAM, 28 Feb – Jamal Persoal…. Gabungan NGO Selangor mempersoalkan keputusan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melantik individu yang diisytiharkan muflis sebagai Pengurus Besar, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Datuk Seri Jamal Md Yunos, meminta Mohamed Azmin memberi penjelasan kepada penduduk Selangor keputusannya melantik individu terbabit untuk menguruskan kewangan yayasan berjumlah ratusan ribu setiap tahun.

“Berdasarkan carian di Jabatan Insolvensi, individu terbabit diisytiharkan muflis sejak 2008, tetapi tetap dilantik bagi menggantikan pengurus besar YAWAS sebelum ini, yang tidak disambung kontraknya.

“Kami tidak berniat mengaibkan sesiapa sebaliknya mempersoalkan tindakan Mohamed Azmin melantik individu terbabit untuk menguruskan tujuh skim besar di bawah YAWAS.

“Persoalannya, bagaimana Mohamed Azmin boleh melantik seorang yang muflis untuk menguruskan dana rakyat Selangor?.

“Adakah berlaku penyalahgunaan kuasa yang cuba dilindungi oleh Mohamed Azmin?,” katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada 16 Februari lalu, Jamal membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana YAWAS.

Ia berhubung keraguan transaksi dana YAWAS berjumlah RM200 juta yang sepatutnya digunakan bagi program kebajikan rakyat Selangor, namun disalah gunakan apabila turut disalurkan kepada Ahli Parlimen PKR dan DAP di Kuala Lumpur.

Jamal turut mendakwa mempunyai bukti transaksi pengeluaran wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik bukan sahaja dibuat di sekitar Lembah Klang, tetapi juga di Pulau Pinang dan Sabah. – WD MY