KUALA LUMPUR: Pelakon, Adrea Abdullah, terkejut apabila suaminya, Zul Fadzli Selamat, menjadi mangsa gangguan seksual di laman sosial.

Menurut bintang Blok 404 ini, dia bingung memikirkan perkara itu apabila kebanyakan gangguan adalah daripada golongan lelaki, dengan sebahagiannya bertindak mengirimkan mesej berbaur lucah.

“Lebih pelik, gangguan seksual itu semakin menjadi-jadi selepas dia berkahwin dengan saya. Pada peringkat awal, mesej dihantar itu kelihatan kelakar. Namun lama-kelamaan, ia sudah dianggap keterlaluan apabila ada yang berani mengajaknya melakukan perkara tidak senonoh.

“Saya sendiri tidak faham kenapa semua ini masih terjadi? Sudah terang-terangan suami saya seorang lelaki sejati, sekalipun ada yang beranggapan sebaliknya,” kata Adrea

Adrea berkahwin dengan pengarah dan juruvideo itu pada 9 Jun lalu selepas kira-kira lima tahun memegang status ibu tunggal.

“Sepatutnya kami berkahwin selepas musim raya. Bagaimanapun, keluarga meminta pernikahan kami dipercepatkan supaya saya dapat bawa balik suami beraya di Kelantan. Akhirnya, kami memilih untuk bernikah pada bulan puasa lalu di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail.

“Cuma, buat waktu ini kami belum sempat untuk berbulan madu kerana kesibukan kerja. Tambahan pula, filem Blok 404 juga mula ditayangkan pada 28 Jun lalu.

“Insya-Allah kami merancang untuk mengadakan dua lagi majlis resepsi pada Oktober atau November depan,” katanya yang mempunyai seorang anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu.

Sementara itu, Adrea reda andai peminat membenci watak wanita jalang lakonannya dalam filem berkenaan.

“Di alam realiti, saya sendiri tidak menyukai perempuan sedemikian. Tetapi, saya tidak boleh menolak tawaran terbabit hanya kerana tak suka dengan watak sebegitu. Dalam lakonan, saya perlu mencabar diri,” katanya.

Filem Blok 404 diangkat daripada naskhah yang pernah mencipta fenomena di negara ini, kira-kira 16 tahun lalu, ketika ia dikeluarkan dalam bentuk video cakera padat (VCD).

Masih mengekalkan beberapa pelakon asal seperti Zamarul Hisham, Raja Azrey dan Boy Iman, filem arahan Azma Aizal Yusoof atau Isma itu turut membariskan Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Nadia Brian, Aedy Ashraf, Kamal Adli, Kilafairy, Azrel Ismail, Izreen Azminda dan Taufik Hanafi.-MY WD