CAMERON HIGHLAND, JAN 4: KONVENSYEN ORANG ASLI….Aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Suresh Kumar mengkritik keputusan Pakatan Harapan (PH) mengadakan konvensyen Orang Asli sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highland.

Jelas Suresh, meskipun konvensyen itu merupakan idea yang baik bagi mengetengahkan isu Orang Asli, ia dilihat diadakan sempena PRK berkenaan.

“Saya rasa ia agak terburu-buru, ia adalah kempen PRK.

“Malaysia mempunyai 18 suku Orang Asli, mereka bercakap 18 bahasa dan anda perlu mengumpulkan mereka untuk konferens. Itu pastinya akan mengambil masa,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy mengumumkan konvensyen berkenaan selepas mengunjungi Cameron Highlands semalam.

Pengumuman itu juga dibuat selepas pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang mengunjungi kampung Orang Asli selama tiga hari sejak Ahad lalu, menggesa konvensyen berkenaan diadakan bagi mengetengahkan keperluan masyarakat Orang Asli.

Masyarakat Orang Asli merupakan 20 peratus pengundi di Cameron Highlands.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengarahkan kerusi itu dikosongkan susulan berlaku pembelian undi pada pilihan raya umum lalu.

Suresh merupakan aktivis Cameron Highlands. Beliau bertanding di kerusi berkenaan pada PRU lalu namun tewas. Pada PRK 26 Jan nanti, beliau tidak akan bertanding.

Suresh juga berkata PH akan mengumpulkan semua tok batin bagi berbincang keperluan komuniti Orang Asli.

Bagaimanapun, Suresh berkata ia bukan idea yang baik memandangkan tok batin berkenaan sejak era BN mempunyai budaya hanya mengatakan hal-hal baik tentang kerajaan dan berkemungkinan tidak memberi gambaran sebenar tentang komuniti mereka.

“Mereka tidak beri gambaran sebenar apa yang terjadi di kampung mereka, mereka cuma katakan apa yang anda nak dengar.

“Tok batin bersikap seperti itu sejak era BN.

“Hari ini, jika anda tanya apa yang diperlukan orang kampung mereka, mereka akan kata mereka sudah ada semuanya dan berterima kasih kepada kerajaan,” kata Suresh.

Justeru, kata Suresh, PH perlu memanggil aktivis Orang Asli dan generasi muda komuniti berkenaan.-MY WD