KUALA LUMPUR, JUN 5: SAMAN….Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad pelik dengan tindakan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadapnya semalam.

Shahrir berkata, setakat ini beliau belum menerima writ saman yang dimeterai mahkamah berhubung perkara itu.

“Saya pelik kenapa nak saman saya pula. Tak pernah dalam sejarah yang mana seorang bekas pengerusi agensi kerajaan disaman oleh syarikat swasta.

“Walaupun saya sudah menerima notis tuntutan daripada mereka (SPSB) pada 24 Mei lalu, saya masih belum menerima writ saman yang dimeterai mahkamah. Oleh sebab itu saya tidak boleh beri sebarang kenyataan kenapa mereka saman saya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan SPSB memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadapnya melalui Tetuan Reza Rahim & Rajivan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil.

Syarikat berkenaan mendakwa Shahrir yang ketika itu pengerusi FELDA mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata setiap kenyataan atau keputusan yang dibuatnya mengenai isu tanah FELDA ketika itu berlandaskan persetujuan ahli Lembaga Pengarah FELDA, Unit Kawal Selia FELDA di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Setiap kenyataan dan keputusan dibuat berdasarkan proses ini. Sama seperti ketika laporan polis dibuat oleh Pengarah Besar FELDA, Datuk Abdul Ghani Mohd Ali, mengenai isu tanah (FELDA) pada 26 Disember tahun lalu.

“Saya tidak tahu adakah ini tindakan bermotifkan politik tetapi apa yang saya tahu, mereka (SPSB) sudah berjumpa Majlis Penasihat Kerajaan pada 31 Mei lalu.

“Tiada sebab untuk saya meminta maaf secara terbuka kepada mereka. Kenapa perlu saman saya sebab perjanjian persefahaman (MoU) antara FELDA dan SPSB masih berkuat kuasa sehingga 14 Jun ini,” katanya.

Kontroversi membabitkan tanah FELDA itu tercetus selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember lalu mendedahkan agensi berkenaan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak.

Pindah milik yang diragui itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik SPSB sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Pasukan firma audit luar yang dilantik melakukan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menyerahkan laporan akhir kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 Februari 2018 untuk meneliti dan bersetuju ia memenuhi objektif pengauditan yang ditetapkan.-MY WD