KUALA LUMPUR, SEPTEMBER 27:TAHFIZ….Pas membidas kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Samad berkenaan cadangan penutupan pusat tahfiz tidak berdaftar di Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, menteri berkenaan sepatutnya memfokuskan kepada penutupan ratusan premis rumah urut, pusat hiburan dan kilang haram yang terus berleluasa.

Menurut beliau, premis-premis tersebut membawa pelbagai masalah sosial, persekitaran dan kekeluargaan.

“Ramai yang masih menunggu pengumuman Menteri Wilayah untuk mengarahkan kedai arak ditutup selepas lebih 30 mangsa mati akibat keracunan arak baru-baru ini.

“Ini berikutan reaksi kilat Menteri Wilayah mengarahkan semua pusat tahfiz tidak berdaftar di Kuala Lumpur ditutup kerana ada kes LGBT yang terlantik/menyamar sebagai pengetua tahfiz yang melakukan jenayah seksual terkutuk terhadap anak-anak muridnya meskipun kes itu masih dalam proses pembicaraan,” katanya.

Katanya, tidak sepatutnya idea menutup tahfiz tidak berdaftar terlintas di minda Menteri Wilayah yang merupakan pemimpin Islam.

“Beliau sepatutnya memikirkan cara untuk membantu pusat pendidikan tidak berdaftar, seperti tahfiz yang mendidik dan beroperasi melahirkan ratusan anak muda berakhlak dan penuh dadanya dengan al-Quran. Bukan mencari alasan untuk menutupnya, “ katanya.-MY WD