GEORGETOWN, 11 MAC – KENDURI…. Kumpulan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diusir dari rumah masing-masing sejak Rabu lalu, diraikan dalam program kenduri rakyat, malam tadi.

Program berkonsepkan barbeku itu sebagai simbolik solidariti ke atas nasib malang menimpa keluarga penyewa terbabit yang kini berteduh di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR).

Juadah barbeku itu disediakan bagi 200 hidangan dengan kumpulan penyewa itu turut bertindak sebagai petugas, selain kos keseluruhannya ditaja sepenuhnya individu yang enggan dikenali.

Antara hidangan disajikan pada program yang bermula pada jam 9 malam itu ialah ayam, ikan siakap, sosej dan pelbagai makanan ringan lain.

 

Malah, hidangan barbeku itu turut disajikan kepada pihak berkuasa yang ditugaskan untuk mengawal keadaan semasa di pekarangan bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

Suri rumah, Nazrimah Jamal Abidin, 44, mengakui terharu apabila masih ada pihak yang bersimpati dengan nasib yang menimpa kami selepas diusir dari rumah, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Reaksi hampir sama diketengahkan Muhammad Syawal Taib, 17, yang keluarganya kini berdepan kemungkinan diusir ekoran masalah tunggakan sewa.

“Mak yang bekerja di kantin sekolah tak dapat hadir program ini kerana demam, manakala adik perempuan berusia 13 tahun pula kepenatan bekerja seharian di kedai bunga selepas dia diberhentikan sekolah, tahun lalu,” katanya. – WD MY