KUALA LUMPUR,NOVEMBER 11: ICERD…Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menganggap kenyataan bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP berkenaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai tidak boleh diterima

“Saya tidak suka mengamalkan politik perkauman. Tetapi kenyataan oleh dua ADUN DAP ini yang dimuat naik di laman dapmalaysia.org tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya minta rakan-rakan baca dan kongsi kenyataan ini,” katanya di laman Facebook miliknya, hari ini.

Kenyataan bersama ADUN Tras, Chow Yu Hui dan ADUN Tanah Rata, Chiong Yoke Kong di laman sesawang dapmalaysia.org yang bertajuk ‘DAP harus sokong ICERD’ itu secara ringkasnya menerangkan kepentingan parti itu untuk memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan ICERD.

Dalam kenyataan bersama bertarikh 9 November 2018 itu, dua ADUN DAP itu turut menggesa DAP untuk ‘memperbetulkan’ sistem dan dasar perkauman Barisan Nasional (BN) secara beransuran, dan sekali gus menghentikan politik perkauman.

“Gantikan dengan dasar yang berkepentingan memelihara hak setiap kaum, agar semua bangsa di Malaysia dapat terus hidup makmur bersama, demi negara yang mendukung prinsip kita semua sama.

“Visi DAP adalah membina sebuah masyarakat yang tiada pengasingan di antara warna kulit atau kaum. DAP memperjuangkan masyarakat yang memberi peluang saksama kepada setiap individu untuk mengejar dan merealisasikan impian masing-masing,” kata kenyataan yang dimuatnaik di laman sesawang dapmalaysia.org itu Jumaat lalu.-MY WD