Kenyataan Media – Baju Kuning Atau Baju Merah Tidak Menyelesaikan Masalah

0
813
Saya melihat bahawa kedua- dua kumpulan sama ada baju kuning atau baju merah tidak menyelesaikan masalah rakyat sebaliknya menimbulkan lebih banyak isu lain seperti pergaduhan, perkauman dan sentimen-sentimen negatif.
Pihak baju kuning (Bersih) akan terus dengan agenda mereka melaksanakan demonstrasi jalanan yang saya lihat semakin hari semakin terpesong daripada agenda atau konsep asal iaitu mahukan pilihanraya yang bersih dan adil.
Lebih banyak perkara negatif yang berlaku sebaliknya sewaktu demonstrasi berlaku seperti membakar gambar pemimpin, pergelutan antara peserta dan pihak polis dan vandalisme terhadap harta benda awam.
Malah dalam siri Bersih 5 kali ini, poster dan hebahan fitnah yang berleluasa terutamanya berhubung MO1 yang menjadi bahan jelajah.
Pada masa yang sama, baju merah yang mengisytiharkan perang terhadap baju kuning dilihat aggresif bergerak untuk memastikan demonstrasi jalanan itu tidak dilaksanakan pada 19 November ini.
Saya lihat bahawa tentangan sepatutnya dilakukan dengan cara yang lebih matang dan professional dan bukannya dengan menimbulkan kontroversi yang memburukkan lagi keadaan dan membawa imej buruk pada kerajaan kerana persepsi di luar sana menganggap yang seolah-olah baju merah ini disokong kerajaan.
Saya harap kedua- dua kumpulan baju kuning dan merah ini bertindak dengan lebih professional dan fikirkan soal masa depan negara dengan melaksanakan program-program ilmiah dan aktiviti- aktiviti sukarelawan dan bukannya demonstrasi jalanan yang menyusahkan lagi rakyat dan pihak bertanggungjawab seperti pihak polis.
AZMAN AZEEZ
AHLI PARLIMEN BELIA MALAYSIA