Kenyataan Media
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Pertahanan Malaysia
Merangkap Naib Presiden UMNO

1MDB

Kuala Lumpur, 9 Mei – Berikut merupakan kenyataan media dari Dato Seri Hishammuddin Tuin Hussein.

Isu 1MDB merupakan isu hangat yang menjadi perhatian dan tumpuan rakyat Malaysia ketika ini. Justeru, bagi saya kerajaan sememangnya harus menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan untuk menangkis persepsi negatif berkenaan syarikat pelaburan ini.

Selaku Menteri Kabinet dan Naib Presiden UMNO, saya berdiri teguh dengan pendirian saya sebelum ini yang menegaskan bahawa jika ada sebarang salah laku dalam isu 1MDB, tindakan undang-undang harus diambil dengan segera.

Saya berkongsi kegelisahan masyarakat tentang satu pendedahan baru-baru ini berkenaan transaksi hartanah yang signifikan di antara 1MDB dan Tabung Haji Properties di Tun Razak Exchange (TRX). Lembaga Tabung Haji merupakan salah satu institusi yang dihormati, justeru, integriti dan nilai pelabuhan pencarum Tabung Haji perlu dilindungi dan ini seharusnya menjadi prioriti kerajaan. Saya yakin, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji mengambil kira risiko perniagaan dan berusaha untuk memastikan kepentingan terbaik pencarum dari segenap lapisan masyarakat dijamin setiap masa.

Namun demikian, kita perlu segera memadam persepsi negatif dan syak wasangka di pasaran dan pandangan masyarakat bahawa penjualan hartanah 1MDB ini merupakan simptom beban kewangan yang dihadapi oleh syarikat pelaburan tersebut.

Justeru, kita seharusnya mempercepatkan proses untuk mengetahui kedudukan kewangan sebenar 1MDB. Kita tidak seharusnya menunggu sahaja hasil siasatan Ketua Audit Negara. ?Dalam konteks ini, saya menggesa Ketua Audit Negara segera mengemukakan laporannya dan memanjangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Dan demi menjaga reputasi syarikat pelaburan ini serta menjawab persoalan umum, saya mencadangkan ?agar lembaga pengarah 1MDB melantik satu lagi firma audit antarabangsa yang bebas untuk memeriksa, memberi verifikasi dan mendedahkan kepada umum nilai semua aset, liabiliti syarikat serta status portfolio pelaburan dan kedudukan aliran tunai. Firma audit ini juga seharusnya melaksanakan audit forensik kepada semua transaksi 1MDB sejak penubuhannya untuk membantu 1MDB menjawab segala isu yang dibangkitkan. Saya yakin hasil audit bebas ini berserta siasatan Ketua Audit Negara akan dapat membantu 1MDB meyakinkan rakyat tentang status kewangan syarikat pelaburan tersebut.

– Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY