KUALA LUMPUR, 25 Okt – Berikut merupakan kenyataan media oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kenyataan Media
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Pertahanan Malaysia

Bajet 2016- Kementerian Pertahanan

Kuala Lumpur, 25 Oktober 2015

Saya mengalu-alukan pembentangan Bajet 2016 oleh YAB Perdana Menteri pada Jumaat lalu. Bajet ini mengambil kira cabaran ekonomi semasa terutama harga minyak yang melemah, kejatuhan mata wang ringgit, serta kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia.

Saya bersama warga Kementerian Pertahanan amat bersyukur kerana meskipun kita berhadapan dengan keadaan ekonomi yang mencabar, namun agenda-agenda dan projek-projek pertahanan yang dirancang Kementerian Pertahanan terus mendapat mendapat pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan melalui Bajet yang dibentangkan kali ini.

Ini membuktikan Kerajaan sentiasa mengambil berat soal keselamatan dan pertahanan negara. Ia sekali gus menyerlahkan penghargaan kerajaan kepada pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keluarga mereka, atas jasa, keringat, pengorbanan serta sifat profesionalisme yang mereka sumbangkan kepada negara selama ini.

Melalui Bajet 2016, Kementerian Pertahanan memperoleh peruntukan berjumlah RM17.304 bilion. Jumlah ini melibatkan RM13.457 bilion untuk Belanja Mengurus manakala RM3.847 bilion untuk Belanja Pembangunan.

Melalui Bajet ini, Kementerian Pertahanan akan memberi fokus kepada 4 aspek utama iaitu kebajikan anggota tentera dan veteran tentera, keselamatan negara khususnya di Sabah, kesiapsiagaan ATM, dan transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Berhubung aspek pertama iaitu kebajikan anggota dan veteran tentera, saya bersama seluruh warga Kementerian Pertahanan amat menghargai usaha kerajaan memberi tumpuan khusus kepada aspek kebajikan anggota. Sesungguhnya aspek kebajikan anggota amat dekat di hati saya. Inilah perjuangan saya sejak awal memimpin Kementerian Pertahanan.

Dalam Bajet 2016, kerajaan memperuntukkan lebih RM160 Juta untuk fasa pertama pembinaan baru Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara. Melalui inisiatif ini, Kementerian Pertahanan merancang untuk membina baru lebih 4,000 unit RKAT pada tahun hadapan. Keutamaan pembinaan RKAT ini akan diberikan kepada kawasan-kawasan atau kem-kem yang mengalami kekurangan rumah keluarga yang amat ketara.

Selain daripada projek bina baru, Kementerian Pertahanan juga akan memperuntukkan belanja untuk projek-projek penyelenggaraan RKAT. Keutamaan akan diberikan kepada unit-unit RKAT yang paling daif dan usang.

Ini tidak termasuk pembinaan 2,000 rumah mampu milik oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk anggota ATM dan veteran tentera yang layak.

Sesungguhnya, aspek perumahan merupakan agenda terpenting saya di Kementerian Pertahanan khususnya dalam meningkatkan taraf hidup dan keselesaan warga tentera yang telah banyak berkorban mempertahankan kedaulatan tanah air. Malah, saya telah turun padang ke beberapa negeri untuk meninjau sendiri keadaan RKAT ini.

Masih menyentuh mengenai aspek kebajikan, bagi saya, sudah tiba masanya untuk Kementerian Pertahanan meluaskan penggunaan bas sekolah ke seluruh Malaysia bagi menggantikan trak tentera yang selama ini digunakan untuk membawa anak-anak tentera ke sekolah. Saya tidak mahu lihat lagi anak-anak tentera menaiki trak ke sekolah. Pada masa ini, hanya anak-anak tentera di kawasan Lembah Klang menikmati kemudahan bas sekolah ini. Justeru, dengan perluasan penggunaan bas sekolah ini, lebih 13,000 anak-anak anggota ATM akan mendapat manfaat.

Manakala untuk veteran tentera, peruntukan yang diterima pada Bajet kali ini akan dimanfaat untuk memperkasa skim bantuan yang dihulur kepada veteran tentera. Bantuan ini termasuk bantuan sara hidup, bantuan persekolahan, bantuan kemasukan ke IPTA, bantuan peralatan pesakit dan bantuan bencana, bantuan mengurus jenazah Veteran ATM Tidak Berpencen dan pembayaran ex-gratia. Pembelaan kepada veteran tentera ini adalah antara keutamaan saya di Kementerian Pertahanan.

Berhubung aspek kedua iaitu memperkukuh keselamatan negara khususnya di Sabah, sebagai Menteri Pertahanan saya akan menentukan agar kesalamatan dan kedaulatan negara terus dijaga dan ini juga meliputi pengukuhan keselamatan di Sabah. Dalam konteks ini, penumpuan akan diberi kepada pengoperasian Pangkalan Laut Tun Azizan dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang telah beroperasi semenjak Mei lalu, projek pasang pulih (refit) Kapal Selam Scorpene, penempatan 12 buah Kenderaan Perisai AV8 GEMPITA di Kem Kukusan, Tawau, penaiktarafan Pangkalan Udara Labuan dan Lahad Datu, pengoperasian bot dan radar serta pengoperasian Detachment Hawk di Labuan. Ini tidak termasuk peruntukan berjumlah RM523 juta untuk pembangunan Kem Tentera Darat ESSCOM di Felda Sahabat, Lahad Datu dan kerpeluan-keperluan lain.

Dalam konteks Keselamatan Sabah, kita tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada peruntukan sedia ada, sebaliknya perlu memikirkan pendekatan luar kotak serta pendekatan kreatif bagi memastikan agenda yang dirancang dapat dilaksanakan. Sebagai contoh, pembinaan Pangkalan Laut Tun Azizan dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan Sabah tidak langung menggunapakai duit kerajaan, sebaliknya diperoleh daripada sumbangan pihak swasta. Hanya pengoperasian dan penyelenggaraan Pangkalan Laut tersebut akan menggunapakai duit kerajaan. Malah, Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah sendiri dibina di atas pelantar minyak terpakai dan kos pembinaannya disumbangkan oleh Petronas. Pembinaan Pangkalan Laut ini merupakan pendekatan pertama seumpamanya di dunia dan kini menjadi model pertahanan kepada negara-negara lain.

Aspek ketiga adalah menyentuh soal Kesiapsiagaan ATM. Berhubung aspek ini, kerajaan jelas komited memperkukuh kesiapsiagaan ATM, di mana Bajet 2016 memperuntukkan perolehan aset-aset baru untuk ATM termasuk 6 buah Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta perisai, dan pesawat Airbus A-400M. Selain itu, ATM juga akan dilengkapkan dengan tekonologi terkini termasuk Unmanned Airborne System yang meningkatkan keupayaan Intelligence, Surevillance and Recoinassance. Peruntukan juga akan disalurkan untuk penyelenggaraan aset-aset ketenteraan sedia ada serta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang pertahanan.

Aspek keempat atau yang terakhir adalah berkaitan Transformasi PLKN. Berhubung perkara ini, sebanyak RM360 juta akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk pelaksanaan PLKN berwajah baru tahun depan. Transformasi PLKN ini akan melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal yang memberi impak langsung kepada pelatih. Saya telah mengarahkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) untuk berusaha memastikan lebih ramai remaja dapat mengikuti PLKN berwajah baru ini pada tahun depan, dengan menggunapakai peruntukan yang disediakan. Matlamat transformasi ini adalah memperkukuh usaha membina jati diri dan meningkatkan patriotisme dan keupayaan belia.

Segala peruntukan yang diterima melalui Bajet 2016 akan dibelanjakan dengan penuh berhemah, amanah, berintegriti dan telus demi memastikan pasukan keselamatan negara sentiasa bersiap-siaga untuk berhadapan dengan sebarang ancaman dari luar dan dalam negara, serta menjamin segala agenda yang dirancang Kementerian Pertahanan dapat dijayakan sepenuhnya.

LEAVE A REPLY