Pernahkah Pemimpin DAP Turun Padang Seperti Zambry Selain Dari Menipu Melayu?

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming hanya mengundang padah dikecam orang ramai apabila menuduh tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turun padang mengutip sampah adalah untuk mencari publisiti murahan.

Presiden badan bukan kerajaan, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata pemimpin DAP itu tidak sedar bahawa tiada pemimpin lain dalam parti cauvinis Cina itu pernah turun padang seperti yang Zambry lakukan tetapi selalu cuba menipu orang Melayu.

“Bila sekali dalam sejarah DAP, kita pernah melihat pemimpin parti pembangkang itu turun padang dan bersama-sama dengan pekerja pihak berkuasa tempatan bersama-sama mengutip sampah sejak awal pagi sendiri mengangkat plastik dan membuangnya ke dalam lori.

“Mereka hanya kata akan membantu rakyat tetapi kenyataan itu hanya menipu rakyat khususnya orang Melayu kerana cuba mendapat sokongan berbentuk undi kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum (PRU),” kata Ramesh dalam satu kenyataan hari ini.

Ramesh mengambil contoh di negeri Pulau Pinang, apabila Ketua Menterinya Lim Guan Eng membuat janji PRU akan mempertahankan kampung-kampung Melayu yang ada di negeri itu tetapi selepas PRU dan DAP menang, ia hanya tinggal janji malahan lebih teruk lagi.

Beberapa buah kampung di Pulau Pinang yang sudah lama didiami orang Melayu telah dirobohkan untuk tujuan projek perumahan komersial untuk golongan mewah sehingga penduduk tetap Pulau Pinang disingkirkan.

“Adakah ini bukti mereka membantu rakyat dan mengotakan janji, ini sebenarnya lebih zalim dari memungkiri janji dan ia dilakukan kepada pengundi yang mengundi mereka sendiri,” kata Ramesh.

Tindakan Kor Ming hanyalah kerana iri hati dengan Zambry yang mempunyai jiwa besar untuk turun padang dan sanggup membuang sampah bersama-sama pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Beliau menyalahkan pula cara pentadbiran Zambry yang kononnya menyebabkan negeri Perak menjadi negeri miskin di dalam negara.

Sudah terbukti, pemimpin DAP ini berlagak diva dan kononnya geli untuk turun padang dan mengutip sampah padahal sebagai pemimpin, mereka perlu sekali sekala melakukan perkara itu untuk membuktikan bahawa mereka berjiwa rakyat.

“Kelibat pemimpin DAP jika dengan rakyat hanyalah di atas pentas ceramah dan mengutuk serta mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN),” kata Ramesh.

Khamis lepas, Zambry dilihat berpakaian seperti pekerja pembersihan MBI dan menaiki lori sampah dan mengutip sampah di beberapa kawasan perumahan di pusat bandar Ipoh.

Beliau turun padang untuk mendekati pekerja MBI ketika melakukan tugas sebagai usaha memupuk semangat kerja berpasukan.

4 Februari 2017