KENYATAAN BERSAMA

YAB DATO’ SERI DR. AHMAD ZAHID HAMIDI,
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
MERANGKAP
MENTERI DALAM NEGERI

DAN

YAB DATUK SERI PANGLIMA MUSA BIN HAJI AMAN,
KETUA MENTERI SABAH

BERSEMPENA

MESYUARAT JAWATANKUASA INDUK PENGURUSAN WARGA ASING DI SABAH

(31 JULAI 2015)

Sejak penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing, Kerajaan telah menekankan tentang kepentingan untuk mengambil langkah-langkah ke hadapan dalam menangani isu warga asing di Sabah.

Oleh itu, melalui Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, beberapa tindakan penambahbaikan penguatkuasaan telah diambil khususnya yang melibatkan usaha merekodkan data Pendatang Asing Tanpa Izin (PAT)I dengan lebih sistematik. Ia dilaksanakan melalui pemerluasan sistem biometrik yang bukan sahaja dipasang di pintu-pintu masuk tetapi juga di pusat-pusat tahanan sementara.

Pada masa ini, sebanyak 10 pintu masuk di negeri Sabah yang telah dilengkapkan dengan kemudahan sistem biometrik dan terkini adalah pintu masuk melalui jalan laut di Pelabuhan Kota-Kinabalu dan Pelabuhan Sandakan yang dipasang pada bulan Mei 2015.

Selain daripada itu, Jabatan Imigresen juga telah memperluaskan penggunaan sistem biometrik ini ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau pada 10 Jun 2015. Manakala pemasangan sistem biometrik di Pusat Tahanan Papar, Sandakan dan Kota Kinabalu dijadualkan pada bulan Ogos 2015.

Pemasangan sistem biometrik ini telah memberikan kesan yang positif dalam aktiviti pembanterasan kebanjiran PATI kerana ia bukan sahaja menyimpan data PATI yang ditangkap, ditahan dan diusir tetapi ia juga amat membantu Kerajaan dalam mengenal pasti pesalah yang berulang.

Yang paling utama, sistem biometrik ini akan membantu Kerajaan dalam membanteras kegiatan pemalsuan atau pertukaran identiti oleh PATI khususnya di kalangan mereka yang pernah ditangkap dan dihukum atas pelbagai kesalahan.

Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, keberkesanan sistem biometrik ini boleh dilihat melalui jumlah PATI yang telah disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia kerana melakukan kesalahan imigresen dan memiliki rekod jenayah. Oleh itu, sehingga Jun 2015 seramai 3,014 PATI telah disenaraihitamkan dengan perincian mengikut negara asal seperti berikut :
Warganegara Filipina : 2,057 orang
Warganegara Indonesia : 440 orang
Warganegara Lain : 517 orang.

8. Di pihak ESSCOM juga telah menjalankan operasi bersepadu secara NBOS yang melibatkan lebih daripada 10 Jabatan/ Agensi di Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kudat, Sandakan dan Tawau. Operasi secara berterusan ini telah menerima sambutan baik daripada masyarakat Sabah dan akan diperluaskan ke daerah-daerah lain sekiranya terdapat keperluan.

9. Dalam mesyuarat yang lalu juga, antara perkara yang telah diletakkan sebagai keutamaan adalah strategi dan pendekatan untuk memantapkan keberkesanan aspek penguatkuasaan. Antara fokus yang telah digariskan adalah mempertingkatkan operasi penangkapan PATI di seluruh negeri dan mempercepatkan proses pengusiran (flush out) PATI.

10. Berikut merupakan status laporan kemajuan operasi penguatkuasaan yang telah dilaksanakan setakat ini :

10.1 Penguatkuasaan telah dilipat gandakan melalui Operasi Bersepadu dan Operasi-Operasi Khas pelbagai agensi melibatkan Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah (MKN Sabah), Polis DiRaja Malaysia Sabah, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Eastern Sabah Security Command atau ESSCOM dan agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Sabah. Sejak 1 Januari 2015 hingga 30 Julai 2015, sejumlah 114,559 orang yang disyaki PATI di Sabah telah diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai 13,478 orang telah pun direman dan ditahan di PTS yang dikendalikan MKN Sabah sementara menunggu PATI berkenaan dihantar pulang iaitu selepas urusan siasatan dan pendakwaan diselesaikan;

10.2 Proses pengusiran PATI telah juga ditingkat dan dipercepatkan. Pada 2013, sejumlah 13,222 PATI telah diusir ke negara asal, berbanding peningkatkan kepada sejumlah 17,607 PATI pada tahun 2014. Bagi tahun ini pula, dalam tempoh 7 bulan sahaja iaitu sehingga 30 Julai 2015, jumlah pengusiran telahpun mencecah sejumlah 15,368 orang. Sasaran yang digariskan untuk tahun ini seramai 22,000 PATI diusir balik ke negara asal.

10.3 Untuk menampung keperluan mendesak penempatan sementara PATI yang ditangkap dalam operasi penguatkuasaan menyeluruh bermula awal tahun ini, Kerajaan sebelum ini telah memutuskan untuk membina semula PTS Menggatal. Sebagai makluman perkembangan, PTS berkenaan telah siap dan telahpun mula beroperasi pada 26 Februari 2015 di bawah pengurusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan nama PTS Kota Kinabalu. PTS ini mempunyai kemudahan untuk menampung seramai 2,100 orang tahanan PATI pada satu-satu masa. Pembukaan PTS Kota Kinabalu ini telah dapat mengurangkan isu kesesakan di PTS sedia ada dan sekali gus dapat memastikan perancangan operasi penguatkuasaan dapat dilaksanakan serta-merta.

10.4 Pada masa yang sama, Kerajaan telah mengambil pendekatan yang lebih proaktif untuk mempereratkan jalinan kerjasama dan persefahaman dengan pejabat kedutaan-kedutaan negara luar yang rakyatnya kerap terjebak menjadi PATI. Hasil inisiatif ini, proses mendapatkan kelulusan untuk penghantaran balik warga asing ini atau Travel Document telah diperolehi dengan lebih cepat. Ini membolehkan urusan pengusiran dapat disegerakan dan mengurangkan bebanan kos tanggungan kepada kerajaan melalui pengurangan tempoh keberadaan dan pengurusan PATI di semua PTS.

11. Kerajaan juga optimis bahawa dengan peningkatan usaha penguatkuasaan oleh setiap agensi penguatkuasa di negeri Sabah ataupun melalui Operasi Bersepadu, isu kebanjiran warga asing di Sabah akan dapat ditangani dengan lebih berkesan. Justeru, Semua pihak diseru agar bersama-sama dengan Kerajaan untuk mengatasi masalah PATI di Sabah. Para majikan diingatkan supaya tidak sesekali menggaji atau melindungi PATI secara haram. Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah melindungi PATI secara tidak sah atau tidak mengikut undang-undang sedia ada.

12. Kerajaan juga buat kesekian kalinya ingin menekankan bahawa dalam mendukung semangat keterangkuman (inclusiveness), Kerajaan telah menyediakan platform melalui Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, Timbalan Ketua Menteri Sabah agar semua pihak berpeluang untuk memberikan cadangan yang berkaitan dengan pengurusan warga asing di Sabah.

LEAVE A REPLY