KUALA LUMOUR, OKTOBER 22: TAK MASUK AKAL…Kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bahawa kerajaan berhasrat memansuhkan hukuman mati bagi membawa pulang Sirul Azhar Umar disifatkan sebagai tidak berasas.

Penasihat Lawyers For Liberty, N Surendran berkata pemansuhan hukuman mati telah lama dituntut oleh masyarakat madani dan badan-badan antarabangsa.

“Langkah HARAPAN memansuhkan hukuman mati adalah kemuncak gerakan selama puluhan tahun menentang hukuman mati di Malaysia.

“Oleh itu, ia adalah tidak masuk akal dan nakal bagi Wee untuk mendakwa pemansuhan itu ‘terburu-buru’ untuk membawa pembunuh yang dihukum mati Sirul Umar Azhar dari Australia bagi memberi keterangan dalam kes Altantuya,” kata Surendran dalam kenyataan hari ini.

Semalam Wee mempersoalkan langkah terburu-buru memansuhkan hukuman mati dengan mengatakan kerajaan sekurang-kurangnya perlu membenarkan jawatankuasa pilihan parlimen (PSC) untuk meneliti cadangan itu terlebih dahulu.

Wee mempersoalkan sekiranya langkah itu ada kaitan dengan kegagalan kerajaan mengektradisi Sirul Azhar dari Australia memandangkan negara itu tidak menyokong hukuman mati.

Sirul kini berada di Australia selepas mahkamah negara ini menjatuhkan hukuman mati terhadapnya atas kes pembunuhan berprofil tinggi, Altantuya Shaariibu.

Dalam pada itu Surendran turut membidas kenyataan Wee yang menuntut pemansuhan hukuman mati diteliti PSC terlebih dahulu.

“Adakah Wee atau MCA menuntut diadakan PSC apabila kerajaan BN tergesa-gesa meluluskan Akta Antiberita Palsu yang tidak demokratik pada PRU14? Sebaliknya mereka berdiam diri dan mengundi akta itu selari dengan bos mereka, Umno.

“Tetapi apabila HARAPAN berhasrat memansuhkan hukuman mati selaras dengan hak asasi manusia sejagat dan standard antarabangsa, MCA cuba menghalangnya dengan menuntut PSC!” kata Surendran.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, banyak nyawa tidak berdosa akan dipertaruhkan sekiranya hukuman mati dikekalkan di negara ini.

“Sesetengah mereka yang dihukum mati mungkin tidak bersalah atau disabitkan secara salah. Sesetengahnya terdesak menjadi keldai dadah dan ramai daripada mereka boleh dipulihkan.

“Adakah penyelesaian bagi MCA dan BN hanya dengan menggantung mereka semua?” soalnya.-MY WD