SEREMBAN, 20 Feb – Kenyataan……. Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin, ditempelak kerana mengaitkan insiden lapan remaja yang maut akibat kemalangan di Johor Bahru dengan era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, mengakui terkejut terhadap kenyataan seperti itu keluar daripada seorang yang pernah menjadi menteri Kabinet.

“Kalau tidak setuju dengan Perdana Menteri sekali pun, takkanlah kemalangan di Johor itu pun nak dikaitkan dengan Datuk Seri Najib.

“Takkan semua perkara nak letakkan atas (salahkan) Najib. Bercakap biarlah ada logiknya. Dia (Zainudin) dah berusia, saya nasihat tak payah cakap pelik-pelik,” katanya selepas merasmikan mesyuarat kerjasama kepimpinan Yayasan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional¬†(PEMBINA) di sini, hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Zainudin dalam laman Twitter kelmarin yang mendakwa kemalangan itu sebagai satu lagi tragedi negara di bawah pentadbiran Najib. – WD MY