KUALA LUMPUR, 21 Mei – Kepakaran veteran tentera yang mempunyai kemahiran
khusus seperti risikan amat diperlukan bagi membantu kerajaan mendepani pelbagai
ancaman baharu keselamatan pada masa kini.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kementerian
perlu bersikap terbuka berhubung penglibatan anggota veteran yang mempunyai
kemahiran-kemahiran khusus bagi memastikan kepakaran mereka dapat dimanfaatkan
untuk kepentingan negara.

“Diharap pegawai-pegawai dalam kementerian akan lebih inklusif termasuk
melibatkan mereka (veteran tentera) yang mempunyai kemahiran khusus ini,”
katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) pada sesi
Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad mahu tahu adakah kerajaan membuat pemantauan terhadap veteran-veteran
terutama yang mempunyai kemahiran khusus bagi mengetahui apakah aktiviti terkini
mereka untuk mengelakkan mereka terjebak dengan perkara tidak baik.

Hishammuddin berkata dengan mengupayakan veteran berkemahiran
khusus ini juga, ia dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan perkara
negatif atau diekploitasi pihak tertentu sehingga menyusahkan negara.

Menjawab soalan asal Datuk Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu),
Hishammuddin berkata kerajaan sentiasa prihatin dalam membela kebajikan golongan
veteran tentera serta keluarga mereka melalui pelbagai program di bawah Strategi
Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Antara inisiatif di bawah program itu ialah membaik pulih rumah veteran
daif, berpendapatan rendah dan miskin, yang bermula sejak 2012, melibatkan
sebanyak 49 rumah dengan nilai RM1.39 juta,” katanya.

Beliau berkata pada 2013 sebanyak 200 rumah terlibat membabitkan kos RM6.7
juta, pada 2014 melibatkan 171 rumah (RM2.9 juta), manakala bagi tahun ini
sebanyak 84 buah rumah dirancang disiapkan dengan peruntukan sebanyak RM2.86
juta.

“Usaha ini termasuk melalui penggemblengan usaha pelbagai agensi di bawah
Kementerian Pertahanan seperti Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera dan
Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera Malaysia (Perhebat).

“Selain itu kementerian turut menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian
Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan,” katanya.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY