BATU PAHAT, 7 Julai – Keperluan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui keperluan mewujudkan dua jawatan timbalan ketua polis negara dan jabatan antikeganasan bagi memperkukuhkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, keputusan mengenainya akan dibuat oleh Mesyuarat Suruhanjaya Polis yang dipengerusikan beliau.

“Saya tidak menolak, mengesahkan, tidak mahu menafikan analisis akhbar mengenai keperluan mewujudkan jawatan dua timbalan ketua polis negara.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri yang mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya pasukan polis, pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat itu sama ada mengesah atau menolak cadangan.

“Bagaimanapun, memang ada keperluan untuk mewujudkan jawatan seorang lagi timbalan ketua polis negara, di samping jabatan antikeganasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Batu Pahat, di Dewan Jubli Intan, di sini, hari ini.

 

Ahmad Zahid berkata, pihaknya menyedari ancaman keganasan di rantau ini dan berpandangan PDRM perlu memperkukuh dan memperbesarkan keanggotaan dengan meningkatkan taraf unit keganasan kepada sebuah lagi jabatan PDRM.

Mengenai calon jawatan itu jika diluluskan, beliau berkata, ia akan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Zahid mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kemungkinan dua timbalan ketua polis negara diwujudkan dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan pasukan termasuk menangkis ancaman pengganas.- WD MY