KUALA LUMPUR, 26 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS)
berkenaan dengan kemelut kepimpinan MIC.

“Keputusan RoS dah disahkan Mahkamah Tinggi. Jadi saya tidak ada pilihan
melainkan menerima apa juga taksiran yang dibuat RoS,” kata Najib yang
juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat
Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam sepucuk surat kepada
Setiausaha Agung Jawatankuasa Kerja Pusat Interim 2009 berkata RoS mengambil
maklum Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel telah hilang keanggotaannya secara
persendirian (Ipso Facto), manakala Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S.
Subramaniam menjalankan tugas-tugas sebagai pemangku presiden parti.

Kandungan surat itu diumumkan oleh Dr Subramaniam, dalam satu kenyataan
semalam.

Mengulas lanjut, Najib berkata beliau telah mengambil maklum mengenai surat
RoS kepada MIC itu.

“Hari ini saya tengok surat dari RoS. Berdasarkan surat dari RoS itu, saya
akan buat penentuan nanti,” katanya.

Ditanya mengenai status Palanivel yang merupakan Menteri Sumber Asli dan
Alam Sekitar, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.

“Saya tidak mahu buat apa-apa keputusan tergesa-gesa, nanti dituduh
mencampuri urusan MIC.

Saya mahu MIC sendiri tentukan kepimpinan mereka, baru saya boleh buat
keputusan kemudian,” katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY