NEW YORK, 3 Jan – TOLAK….. Pihak Panel kerajaan Amerika Syarikat (AS) menolak pengambilalihan MoneyGram International Inc oleh Ant Financial, syarikat dikuasai Jack Ma, atas sebab keselamatan negara.

Ia adalah janji niaga berprofil paling tinggi membabitkan syarikat China yang mendapat tentangan di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

Kehancuran janji niaga bernilai AS$1.2 bilion itu memberi tamparan kepada Jack Ma, pengerusi eksekutif konglomerat internet Alibaba Group Holding Ltd, yang adalah pemilik Ant Financial bersama-sama eksekutif Alibaba.

Beliau berhasrat meluaskan jangkauan Ant Financial di tengah-tengah persaingan domestik yang sengit daripada pesaing, iaitu platform pembayaran WeChat milik Tencent Holdings Ltd.

Jack Ma, warga China yang kerap kali bersama pemimpin tertinggi Parti Komunis, berjanji kepada Trump pada satu perjumpaan setahun lalu bahawa beliau akan mewujudkan satu juta pekerjaan di AS.

Saham MoneyGram turun 8.5 peratus kepada AS$12.06.

Kedua-dua syarikat memutuskan untuk menamatkan janji niaga itu selepas Jawatankuasa Pelaburan Asing di AS (CFIUS) menolak cadangan itu atas sebab kebimbangan berkaitan keselamatan data yang boleh digunakan untuk mengenal pasti rakyat AS, demikian menurut sumber dalaman.

“Sungguhpun usaha terbaik kami untuk bekerjasama dengan kerajaan AS, sekarang jelas CFIUS tidak akan meluluskan penggabungan ini,” kata Ketua Eksekutif MoneyGram, Alex Holmes, dalam satu kenyataan.

Ant Financial dan MoneyGram berkata, mereka akan menerokai dan membangunkan inisiatif untuk bekerjasama dalam perniagaan kiriman wang dan pembayaran digital di China, India, Filipina dan pasaran Asia lain, juga di AS. – WD MY