WASHINGTON, 22 Sept – BOIKOT……. Arab Saudi meminta Myanmar mengizinkan pelarian Rohingya yang berlindung di tempat lain supaya pulang ke negara berkenaan dan membiarkan etnik minoriti Islam itu hidup aman di penempatan mereka.

Bekas Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Abdullah al-Rabeeah, yang kini mengetuai Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman, berkata kuasa utama dunia perlu memberi tekanan kepada Myanmar yang mengusir etnik Rohingya ke Bangladesh.

“Apa yang kita mahukan daripada negara sekutu seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom serta masyarakat dunia, ialah sudah tiba masanya untuk memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya membenarkan semua pelarian pulang, hidup dengan aman dan mendapat hak mereka,” katanya.

Abdullah berkata, Arab Saudi menyalurkan bantuan kepada 422,000 pelarian Rohingya yang dihalau keluar dari Rakhine menuju Bangladesh sejak 25 Ogos lalu.

“Sebahagian besar bantuan disalurkan ke Bangladesh, selain ke Indonesia dan Malaysia.

“Kami bertungkus-lumus membantu pelarian di Bangladesh,” katanya. – WD MY