KUALA LUMPUR, 2 Nov – Perlukah kerajaan melantik sebuah syarikat yang baru dan tidak ada kepakaran dalam menyediakan data serta meningkatkan alatan penyukat IPU dari PM 10 ke PM 2.5.?

Memetik dari The Rakyat Post, Projek naik taraf pemantauan kualiti udara untuk mengukur habuk halus bersaiz kurang daripada 2.5 mikron (PM2.5) bagi menggantikan PM10 yang diguna pakai 52 stesen pemantau kualiti udara dalam negara, dipercayai bakal ditawarkan kepada sebuah syarikat lain.

Projek pemantauan kualiti alam sekitar itu bukan sahaja akan memantau kualiti udara tetapi juga merangkumi pemantauan kualiti air sungai serta maritim di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Desas-desus itu menimbulkan keresahan syarikat pengurusan kualiti udara dan air, Progressive Impact Corporation Berhad (PICORP) yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang tersebut termasuk menyediakan data bacaan indeks pencemaran udara (IPU) kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui anak syarikatnya, Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd. (ASMA) sejak 1995 sehingga sekarang.

“Kita sudah mempunyai 52 stesen udara di seluruh negara, cuma nak ditambah bilangannya dan dinaik taraf kepada bacaan daripada PM10 kepada PM2.5 sahaja.
“Berbeza dengan syarikat lain, mereka perlu mulakan dari bawah termasuk membina stesen pemantauan kualiti udara baharu jika mahu melaksanakannya,” kata Pengerusi Eksekutifnya, Zaid Abdullah.

Zaid berkata banyak masa dan pelaburan yang sudah dibuat untuk melengkapkan syarikat itu dari segi teknologi, persediaan, kualiti staf dan modal insan, yang tidak dipunyai syarikat lain.

“Untuk PICORP sampai ke tahap ini, kita telah melalui proses yang lama bagi melatih kakitangan dan membawa masuk pakar. Kita ada kepakaran dalam alam sekitar termasuk saintis. Kita melabur banyak.

“Tiada syarikat lain dalam Malaysia ada kepakaran sebegini. Contohnya, jika ada sungai tercemar, makmal kita boleh menganalisis kehidupan di dalamnya seperti ikan, bukan sekadar menyediakan data atau pemantauan malahan boleh tahu punca pencemaran,” jelasnya.

Tegasnya, kerajaan sepatutnya memberi pertimbangan kepada tawaran kompetitif dan rekod lampau PICORP sejak 20 tahun lalu.
Malah katanya, syarikat itu tidak pernah gagal dalam menghasilkan maklumat dan data pemantauan yang diperlukan oleh kerajaan.

“Kita diiktiraf sebagai antara yang terbaik oleh badan antarabangsa seperti Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (USEPA) dan Persatuan Kesihatan Umum Amerika (APHA). Kita berharap dapat diberi peluang sekali lagi untuk melakukan yang terbaik.

“InsyaAllah, kita akan terus komited melaksanakan tanggungjawab ini, bukan sahaja untuk memberi kebaikan kepada manusia sejagat tetapi yang pentingnya mendapatkan keredaan Allah SWT,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Johar Yusof berkata penggunaan PM2.5 perlu dilaksanakan secepat mungkin memandangkan masalah jerebu melanda negara sejak 20 tahun lalu.
Malah Johar berkata syarikat itu sudah melalui banyak episod dalam bencana pencemaran di Malaysia, di samping membantu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam insiden-insiden tragik satu ketika dulu.

“Pada pandangan kami, ini perlu disegerakan. Kami sudah ada teknologi, begitu juga kepakaran serta pengalaman. Kami sudah bersedia.

“PICORP telah membantu JAS ketika menghadapi wabak Japanese Encephalitis (JE) di Bukit Pelandok pada 2001; kebakaran sisa toksik di gudang Kualiti Alam Sdn. Bhd., Seremban (2015); tanah runtuh di Cameron Highlands; kebakaran kapal Alphina di Labuan (2012); kebakaran kilang kimia di Prai (2004), banjir besar di pantai timur (2014 dan 2015)) serta jerebu paling teruk di Malaysia pada 1996,” jelasnya.

Pihak berwajib dan bertanggungjawab perlu ambil perhatian jika perkara ini benar dan berlaku, maka akan berlaku kerugian dalam pembelanjaan wang rakyat apabila melantik syarikat baru sedangkan ia sudah tidak perlu kerana syarikat sedia ada sudah mampu dan bersedia untuk menaik taraf dan meneruskan apa yang telah dibuat oleh syarikat Picorp berkenaan kepada kementerian berkenaan. – Sofea Nawar, Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY