KUALA LUMPUR, 20 Okt – Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan akan mewujudkan undang-undang khas bagi melindungi keselamatan pemetaan utiliti negara daripada sebarang konflik pada masa hadapan.

Beliau berkata Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) diberi mandat
menguruskan penyimpanan maklumat utiliti secara bersepadu bagi seluruh negara
yang diperoleh daripada agensi-agensi pemilik utiliti atau agensi penyelaras
utiliti di peringkat negeri.

“Peta utiliti yang diperolehi pihak kerajaan tidak boleh didedah begitu
sahaja kerana ada implikasi keselamatan khususnya dalam masa konflik
antara kita dengan pihak lain.

“Oleh itu ia mesti disimpan dengan cara tertentu dan perlu dibuat sebagai
dokumen terhad yang dilindungi oleh undang-undang,” katanya kepada pemberita
selepas menyampaikan sijil kepada 30 graduan sempena kali ketiga Konvokesyen
Persijilan pengesanan Utiliti Bawah Tanah dan Pemetaan.

Wan Junaidi berkata pelaksanaan tersebut memerlukan sumber kewangan yang
mencukupi daripada kerajaan serta satu garis panduan perlu diwujudkan bagi
agensi yang dipertanggugjawabkan untuk menjaga maklumat sulit itu.

Sebelum itu, semasa berucap pada majlis itu, beliau berkata maklumat
utiliti bawah tanah seperti paip air, kabel elektrik, talian telefon dan paip
gas merupakan utiliti yang diperlukan dalam semua projek pembangunan lama dan
baharu seperti projek perumahan, perindustrian dan perusahaan.

Oleh yang demikian, maklumat mengenai utiliti bawah tanah itu
perlu direkod dan disimpan oleh JUPEM bagi tujuan rujukan masa hadapan, katanya.

“Maklumat-maklumat yang dibekalkan ini boleh dirujuk dan dikongsi bersama
oleh pihak-pihak berkepentingan dalam melaksanakan sebarang pembangunan,”
katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY