DHAKA, 11 Jun – Berkas Penjenayah……Pihak berkuasa Bangladesh memberkas kira-kira 1,600 suspek jenayah, termasuk berpuluh-puluh pelampau Islam dalam satu operasi besar-besaran di seluruh negara.

Menurut polis, hari ini, operasi serbuan itu bertujuan membendung serangan ganas terhadap golongan minoriti dan aktivis di negara itu.

Semua serangan ganas itu, termasuk dua kes penganut Hindu ditetak mati pada minggu lalu mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa.

Ia turut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sekular Perdana Menteri, Sheikh Hasina mampu menjamin keselamatan golongan minoriti di negara majoriti penduduk Islam sunnah itu.

Polis dan anggota separa tentera menjalankan operasi di seluruh negara itu, sejak malam Khamis lalu dengan menyerbu tempat persembunyian militan disyaki dan menahan kira-kira 1,600 orang setakat malam tadi.

Bagaimanapun, kebanyakan yang ditahan disifatkan sebagai penjenayah kecil. Hanya 37 daripada mereka disyaki militan radikal, menurut jurucakap polis, Kamarul Islam.

Tiada yang ditahan dipercayai ahli kanan yang mungkin merancang atau mengarahkan serangan, kata polis. Semua yang ditangkap kini ditahan di penjara. – WD MY

LEAVE A REPLY