KUALA LUMPUR, 22 Nov – Setuju…….Pihak Kerajaan bersetuju membangunkan program asas persediaan bahasa Arab untuk pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) di Asia Barat serta melaksanakan Ujian Kelayakan Bahasa Arab (UKBA) di negara ini.

Program asas persediaan bahasa Arab dan UKBA itu antara empat elemen yang diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pendidikan Agama Islam membabitkan Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jawatankuasa itu juga turut bersetuju memperluaskan syarat memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) bagi memberi peluang kepada murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada Sekolah Rendah Agama Negeri (SRAN) dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) untuk memohon dan belajar di sekolah berkenaan.

Di samping itu, katanya jawatankuasa turut bersetuju memberi kelulusan khas kepada pemegang Ijazah Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra Mesir lepasan Maahad Tahfiz al-Quran, Pulai Chondong, Kelantan sebagai ijazah pertama Pengajian Tahfiz mengikut syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Jawatankuasa tertinggi itu turut bersetuju menyemak semula syarat minimum A- kepada B untuk subjek bahasa Arab di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat kelayakan untuk pelajar memohon dan memasuki Universiti Awam di Jordan.

“Kerajaan sentiasa mengambil perhatian utama terhadap hala tuju dan masa depan pendidikan Islam di Malaysia bagi memastikan kelangsungannya sentiasa selari dan memenuhi keperluan arus perdana.

“Kerajaan yakin dengan pelaksanaan keputusan ini akan menjadi aspirasi ampuh kepada legasi pendidikan Islam yang gemilang di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan. – WD MY