SUNGAI PETANI, 5 Feb – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
memberi jaminan kerajaan akan tetap mengutamakan rakyat yang memerlukan bantuan
walaupun pada masa sama negara kehilangan hasil RM40 bilion akibat kejatuhan
harga minyak.

Menurut beliau, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pelbagai usaha
dirangka bagi membantu menangani beban rakyat dan sebagai contoh pesawah padi di
Kedah mendapat manfaat dalam pengubahsuaian bajet 2016 baru-baru ini apabila
menerima tambahan tunai RM50 bagi setiap tan metrik padi sebagai insentif kepada
mereka.

“Dalam pengubahsuaian bajet, kerajaan telah lakukan beberapa perkara seperti
mana saya maklumkan iaitu pesawah padi di Kedah saya ambil perhatian amat berat.

“Saya telah umumkan tambahan tunai RM50 sebagai insentif. Insya-Allah pada
masa akan datang kita boleh pertimbangkan (tambahan insentif). Untuk keluarga
miskin tegar, 20 kilogram beras diterima mereka melalui program MyBeras dan kita
akan fikir kaedah macam mana nak sampaikan,” katanya ketika berucap merasmikan
Pusat Transformasi Bandar @ Ukir Square hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Kedah
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mengenai Pusat Transformasi Bandar (UTC), Najib berkata ia merupakan lambang
kepada aspirasi kerajaan untuk melakukan transformasi demi manfaat rakyat.

“Ia adalah bagaimana sebuah kerajaan boleh mengadakan khidmat penyampaian
yang lebih berkesan untuk keselesaan rakyat dengan kos yang paling minimum.

“Setakat ini kita telah tubuhkan 10 UTC sejak 2012. Sebanyak 11.5 juta
rakyat telah menggunakan kemudahan UTC di seluruh negara, manakala UTC di Alor
Setar, sejak Julai 2013 sebanyak 3.7 juta orang telah mendapat kemudahan,”
katanya.

Najib berkata, penubuhan UTC merupakan satu pendekatan bermakna dan
berkesan dengan peniaga mendapat peluang perniagaan manakala pelanggan boleh
membeli belah dan mendapat kemudahan yang disediakan.

Katanya, UTC telah memecahkan tembok-tembok dan lohong-lohong yang sebelum
ini memisahkan kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY