PUTRAJAYA, 10 – Mantapkan….Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan berusaha untuk memantapkan lagi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pentadbir bandar di negara ini.

Ahmad Zahid berkata antara perkara yang difokuskan adalah kepentingan aspek penjagaan kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan serta memulihara dan menjamin kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MKNT) Ke-71 yang dipengerusikan beliau di Perdana Putra di sini, hari ini.

Sebanyak 13 kertas kerja dibentangkan pada mesyuarat itu, antaranya termasuk kesedaran terhadap kebersihan dan kebersihan awam serta meningkatkan penguatkuasaan.

“Selain itu, mewujudkan garis panduan tadika dan taska dengan persekitaran yang selamat dan melaksanakan inisiatif ke aras memulihara alam sekitar.

“Mesyuarat juga membincangkan kertas kerja mengenai menggalakkan proses terhadap cadangan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 oleh kerajaan negeri agar pelaksanaan menyeluruh dapat dikuatkuasakan secara seragam oleh PBT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kertas kerja berhubung penggunaan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) turut dibincangkan sebagai salah satu kaedah untuk memantapkan industri pembinaan negara. – WD MY