KUALA LUMPUR, 27 Mac – Tetap Usaha…. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Filipina untuk menyelamat dan membawa pulang tiga lagi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

Najib berkata, kerajaan berusaha memastikan tiga lagi mangsa culik itu dapat diselamatkan.

“Saya harap mangsa dan keluarga tiga lagi mangsa culik tabah. Insya-Allah kita sedaya upaya menyelamatkan mereka,” katanya.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan dua mangsa culik yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di kediaman beliau di sini, pagi ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Najib turut mengumumkan mangsa culik yang diselamatkan iaitu Abdul Rahim Summas, 62, dan Tayudin Anjut, 46, akan diberi rawatan dan ditempatkan di wad kelas pertama Hospital Selayang.

Mereka akan mendapat rawatan pakar kerana kedua-dua mengalami masalah kesihatan selepas lapan bulan ditahan pengganas.

“Abdul Rahim mengalami masalah kaki manakala Tayudin tidak dapat melihat berikutan masalah penglihatan, ” katanya. – WD MY