LONDON, 1 Mei – LANTIK…… Perdana Menteri Britain, Theresa May melantik menteri dalam negeri yang baharu selepas menerima tamparan hebat berikutan peletakan jawatan Amber Rudd tempoh hari.

Pemimpin negara itu menamakan Sajid Javid, 48, sebagai pengganti dalam kementerian yang penting itu selepas Amber berundur dengan penuh rasa kesal.

Ini berikutan gara-gara wanita berkenaan terpalit dakwaan memperdaya penggubal undang-undang berhubung sasaran jumlah penghantaran pulang pendatang tanpa izin di negara ini.

Rudd mengetuai Kementerian Dalam Negeri sejak 2016.

Menurut laporan agensi Channel NewsAsia, Javid adalah anak pemandu bas keturunan Pakistan yang tiba di Britain pada 1961 dengan hanya wang satu pound dalam kocek.

Lelaki berkenaan disebut berjaya meningkat pantas dalam kerajaan. Javid pernah memegang jawatan penting dalam Bank Deutsche sebelum menjadi ahli parlimen pada 2010.

Terdahulu, Rudd menghubungi May memaklumkan keputusan itu selepas seminggu ditekan dengan skandal imigresen dan gesaan untuknya berundur.

Keputusannya meletak jawatan akan menjadi tamparan hebat kepada pemimpin Konservatif itu, yang begitu yakin dengan Rudd, Jumaat lalu.

Senario terkini memberi satu gambaran May mungkin berdepan kesukaran dalam pilihan raya tempatan di seluruh England, Khamis ini. – WD MY