KUALA LUMPUR, OKTOBER 9:CUKAI…Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menjana hasil negara dalam usaha membayar hutang negara yang tinggi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mempertimbangkan untuk melepaskan aset negara seperti tanah bagi mengurangkan beban untuk membayar hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

“Ia cukai yang berbeza tetapi akan mengurangkan beban rakyat. Inilah tujuannya…untuk bayar hutang kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan ucaptama sempena Forum Malaysia Dalam Era Baharu anjuran RHB, Maybank dan CIMB di sini, hari ini.

Ketika berucap pada forum berkenaan, Dr Mahathir berkata, kerajaaan perlu melepaskan akses baharu bagi mendapatkan dana untuk menyelesaikan krisis hutang negara.

“Dalam situasi yang sebenar, duit digunakan untuk melabur dan mendapatkan dividen dan kita tahu duit itu dilaburkan di mana. Jika kita tahu duit itu di mana dilaburkan, sekarang kita tidak tahu di mana wang itu berada. Sebab itu kita kena cari sumber lain.

“Ada cadangan supaya kerajaan melepaskan aset seperti tanah dan menjualnya kepada pelabur tempatan. Hasil daripada pembangunan itu, ia akan disalurkan kembali kepada kerajaan,” katanya.-MY WD