KUALA LUMPUR, 8 Mac – SETUJU….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan akan membaiki dan mengecat semula seluruh kuarters polis dan ibu pejabat polis daerah (IPD) di Wilayah Persekutuan.

Ahmad Zahid berkata, perkara itu sudah dipersetujui Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Tengku Adnan bersetuju supaya berek (kuarters) polis seluruh Wilayah Persekutuan dicat semula, selain membaiki semua balai polis dan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Lembah Pantai di Dewan Orang Ramai Desa Aman, hari ini.

Selain Tengku Adnan, turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) bekerja tidak bermusim dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat, termasuk penduduk Lembah Pantai.

“Kita kerajaan prihatin dan mengambil kira serta peduli akan rakyat keseluruhan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian mendapati 75.3 peratus penduduk mengatakan janji parti yang mewakili kawasan Lembah Pantai tidak ditunaikan.

Katanya, 74.5 peratus menyatakan hanya kerajaan BN membantu dan memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan itu.

“Kajian juga menunjukkan 58.9 peratus pengundi di Lembah Pantai akan berubah angin dengan memberikan dokongan kepada calon BN.

“Kira-kira 70.1 peratus berpendapat hanya kerajaan BN boleh membina masa depan di kawasan Parlimen Lembah Pantai,” katanya. – WD MY