PUTRAJAYA, 2 Jun – Serahkan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pihak Kerajaan China menyerahkan 100 nama warganya yang disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah, yang dipercayai berada di rantau ASEAN termasuk Malaysia.

Ahmad Zahid, berkata antara jenayah dipercayai dilakukan suspek berkenaan termasuk keganasan, penipuan telekomunikasi, dadah dan jenayah rentas sempadan.

“Mereka (China) berkongsi senarai ini dengan kita. Kita akan melakukan siasatan dan melakukan penghantaran pulang (jika ada),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan China mengenai jenayah rentas sempadan di sini, hari ini, sempena lawatan kerja Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun ke negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hingga 31 Disember tahun lalu, seramai 248 rakyat Malaysia sedang menjalani hukuman di penjara di China atas pelbagai kesalahan.

“Rakyat Malaysia yang layak akan dihantar pulang dan disusuli dengan tindakan lanjut jika mereka ada melakukan jenayah di negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 16 isu dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan terutama berkaitan maklumat risikan terhadap jenayah rentas sempadan.- WD MY