JOHOR BAHRU, 30 Mac – BANGUNAN…. Kerajaan akan menggantikan bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di seluruh negara yang sudah berusia bagi memastikan ia tidak lebih 40 tahun pada 2021, kata Timbalan  Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata  berikutan peruntukan pembangunan yang terhad, beberapa langkah  akan diambil oleh kerajaan bagi merealisasikan perkara itu.

“Kita mahu IPK seluruh negara pada 2021, 100 peratus berumur tidak lebih 40 tahun,” katanya semasa merasmikan bangunan tambahan IPK Johor (Fasa 1),  hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri memeriksa perbarisan kawalan kehormat di Dataran Pejabat Kem Komandan IPK Johor dan mendengar taklimat pengurusan PDRM Johor oleh Mohd Khalil.

Ahmad Zahid berkata ketika ini, terdapat IPK di negara ini yang beroperasi di bangunan yang berusia lebih 53 tahun.

Berhubung bangunan tambahan IPK Johor (Fasa 1) bernilai RM76.2 juta mengikut kontrak semasa itu, katanya beliau berharap ia dapat menaikkan semangat dan motivasi  pegawai dan anggota polis kontinjen Johor untuk melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh.

Beliau  juga berharap sistem pendawaian di sekeliling kawasan IPK Johor dapat diperbaiki dengan segera.

Selain IPK, peruntukan sebanyak RM22 juta turut diluluskan bagi menaik taraf Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), balai dan lokap di negeri ini selaras permohonan yang dikemukakan Ketua Polis Johor.

“Untuk  lokap, sebanyak RM1.6 juta diperuntukkan kerana  kita harus menjaga hak kemanusiaan (tahanan) dan harus berada dalam piawaian Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) dan peringkat antarabangsa.  Saya  telah meminta Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk laksanakannya secepat mungkin,” katanya.

Bagi  kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya umum  ke-14,  Ahmad Zahid  turut mengarahkan KDN  membayar 50 peratus elaun pendahuluan diri kepada pegawai dan anggota polis berpangkat  rendah sebelum mereka ditugaskan ke lokasi pilihan raya umum.

Beliau  berkata baki 50 peratus lagi pula harus dibayar selepas pengiraan undi dan pulang ke pangkalan masing-masing.

“Ertinya 100 peratus (elaun) mesti dibayar setelah tugas diselesaikan, bukan tunggu sebulan, dua bulan, bukan tunggu setahun sebagaimana masa lalu.  Saya perlu mengambil kira (kebajikan) anak buah. Kerana sebelum ini sudah berapa banyak pilihan raya termasuk pilihan raya kecil, kadang-kadang lebih setahun elaun belum dibayar,” katanya.

Menurut  Ahmad Zahid, berlandaskan syariat Islam, upah seseorang itu hendaklah dibayar  ‘sebelum keringat kering’.

“Ini peluh dah kering tetapi tidak bayar-bayar lagi,” katanya. – WD MY