JAKARTA, 4 Jan – Putus….. Kerajaan Indonesia memutuskan beberapa hubungan dengan penganalisis penyelidikan bank terkemuka, JPMorgan Chase & Co selepas firma itu mengeluarkan laporan negatif terhadap negara itu, susulan siri pertembungan baharu antara bank Wall Street dengan kerajaan negara ekonomi baru muncul.

Indonesia kini tidak lagi menggunakan JPMorgan sebagai pengatur niaga bon utamanya dan membatalkan penetapan khas bagi firma itu untuk melaksanakan perkhidmatan perbankan tertentu, kata Ketua Kewangan Pejabat Dasar Fiskal Kerajaan Indonesia, Suahasil Nazara, kepada Reuters, semalam.

Ia adalah kali kedua cabang penyelidikan JPMorgan mencetuskan kemarahan kerajaan Indonesia dengan menonjolkan pertembungan konflik yang tidak dapat dielakkan apabila penganalisis mengeluarkan pandangan negatif terhadap negara atau syarikat yang dalam portfolio pelaburan mereka dalam cubaan diheret ke mahkamah.

Bahkan dalam sesetengah kes, bank terpaksa bertindak mengubah laporan penyelidikan mereka, melepaskan kontrak lumayan dan kehilangan kepakaran penganalisis susulan pandangan negatif yang dilontarkan mereka terhadap negara itu.

“JPMorgan melakukan perkara yang betul dengan tidak tunduk dengan tekanan selepas laporannya,” kata Professor Kewangan dan Pengurusan Fakulti perniagaan, New York University, Roy C. Smith.

“Bank itu bersedia untuk kehilangan kelebihannya hubungannya yang kecil di Indonesia yang dilihat tidak memberikan kesan besar kepada pendedahan kewangannya.

“Ia sebenarnya kesilapan di pihak Indonesia, yang sebenarnya memerlukan sokongan dan nasihat JPMorgan, lebih daripada apa yang bank itu perlukan daripada Indonesia,” kata Smith.

Dalam kes JPMorgan, penganalisis yang diterajui Adrian Mowat menurun taraf saranan pelaburannya terhadap pegangan Indonesia kepada ‘underweight’ daripada ‘overweight’ dalam nota laporannya pada 13 November; manakala menetapkan ekuiti pegangan Brazil kepada ‘neutral.’

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Indonesia, Nazara, berkata analisis JPMorgan itu tidak masuk akal kerana ia memberikan Brazil kedudukan yang lebih baik berbanding Indonesia, dengan mengaitkan persekitaran politik yang lebih stabil di negara Asia Tenggara.

“Kami meminta mereka menjelaskan penilaian mereka, dan mereka sudah bentangkannya, namun kami dapati hujah mereka tidak kukuh untuk dipercayai, bukan kerana kita hebat, tetapi lihat sahaja keadaan kita dan ekonomi negara ini,” katanya. – WD MY