KUALA LUMPUR, JAN 5: KEPENTINGAN….Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan keputusan kerajaan PH menaikkan margin keuntungan stesen minyak semalam kerana langkah itu tidak dibuat oleh kerajaan BN sewaktu pentadbirannya.

Beliau turut bertanya, adakah langkah itu untuk menjaga kepentingan syarikat minyak ataupun kepentingan rakyat.

Semalam Presiden Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) Datuk Khairul Annuar mendedahkan mereka mendapat margin tambahan 2.81 sen bagi setiap liter petrol RON95 dan 3 sen bagi produk diesel selaras penurunan harga bahan api itu serta sistem apungan mingguan.

Menulis di Facebook, Najib menempelak Tony Pua kerana kritikan pegawai khas Menteri Kewangan Lim Guan Eng satu ketika dahulu berhubung dasar kerajaan enggan membenarkan syarikat pengedar bahan apa bersaing bebas dan menetapkan harga minyak di bawah harga ditentukan kerajaan.

Berikut kenyataan Najib:

“Dasar Kerajaan yang enggan membenarkan syarikat pengedar bahan api untuk bersaing secara bebas dengan menetapkan harga minyak dan petrol di bawah harga runcit yang ditentukan kerajaan hanya akan merugikan rakyat.” kata Tony Pua pada suatu masa dahulu.

“Rakyat Malaysia sangat kesal dengan keputusan kerajaan itu yang seolah-olah melindungi keuntungan syarikat minyak dan gas, dengan mengorbankan kepentingan rakyat biasa,” katanya dalam satu kenyataan pada masa silam.

Tony berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), yang memaklumkan bahawa harga runcit mingguan akan diumumkan pada setiap hari Rabu bermula 29 Mac 2017.

Itu dulu.

Tentu Tony tahu bahawa bermula hari ini, harga runcit petrol juga ditetapkan oleh kerajaan PH dan juga akan di umumkan setiap minggu.

Bukan itu sahaja. Tentu Tony juga mengambil tahu bahawa kerajaan telah menaikkan margin keuntungan stesen minyak semalam – satu langkah yang kerajaan BN masa saya tidak ambil.

Bukan setakat tahu tetapi Tony sendiri mungkin antara mereka yang menyumbang kepada keputusan tersebut.

Langkah itu jaga kepentingan syarikat minyak ataupun kepentingan rakyat?

Rakyat korban atau tidak?

Bukan main seronok DAP hari-hari hantam setiap keputusan kerajaan BN dahulu untuk menghasut rakyat dan menanam kebencian.

Kini, hampir semua yang mereka buat sama dengan kerajaan BN.

Kecuali hari pengumuman harga ditukar dari hari Rabu kepada hari Jumaat.

Mungkin hari Jumaat dipilih dan bukan Rabu kerana DAP prihatin rakyat?

Mungkin hari Jumaat dipilih kerana lebih senang untuk rakyat beratur pada tengah malam Jumaat memandangkan lebih ramai orang bercuti pada hari Sabtu?-MY WD