ALOR SETAR, 12 Nov – PENGECUALIAN…. Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pengecualian caj bekalan air kepada pengguna domestik di Kedah, dengan syarat penggunaan maksimum 20 meter padu (mq) sebulan bermula Januari depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata dengan insentif bakal membabitkan 221,000 pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10.

Tindakan itu, katanya, adalah insentif antara lain bertujuan menggalakkan penjimatan penggunaan air bersih terawat dan meningkatkan kapasiti margin simpanan di kolam takungan.

“Pemberian ini memanfaatkan 221,000 akaun pengguna atau 38 peratus daripada 579,000 akaun pengguna domestik di Kedah.

“Untuk inisiatif ini, kos tanggungan kerajaan negeri kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA) secara puratanya berjumlah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun.

“Pengecualian ini kita berikan kepada pengguna dengan bil 20 meter padu sebulan atau RM10. Maksudnya hanya pengguna yang memiliki bil sehingga RM10 dikecualikan dan jika bil RM10.10, maka dia kena bayar penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2018 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13, hari ini.

Bajet Kedah 2018 bertemakan ‘Menerus Kemajuan, Menzahir Impian’ memperuntukkan perbelanjaan keseluruhan RM1.38 bilion, dengan kadar defisit RM75.72 juta atau 9.71 peratus, menurun berbanding defisit 10.28 peratus dan 14.95 peratus masing-masing pada 2017 dan 2016.

Terdahulu, Ahmad Bashah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan lima projek baharu bekalan air luar bandar melalui peruntukan pinjaman.

“Matlamat melaksanakan projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bekalan air terawat yang mencukupi, selamat dan bersih kepada penduduk Kedah terutama di luar bandar.

“Antara projek terbabit meliputi projek maniktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar Lama.

“Menerusi usaha menaik taraf loji sedia ada, penggantian paip secara berkala, kecekapan pengurusan agihan bekalan, tindakan tangkas melayani aduan pengguna serta peningkatan produktiviti tenaga kerja,” katanya.

Mengenai penyelesaian isu bekalan air terawat di Pokok Sena dan Pendang, katanya, penyiapan Loji Sungai Santap dengan kos pinjaman Kerajaan Persekutuan bernilai RM60 juta akan memuktamadkan penyelesaian isu berkenaan, dengan jangkaan bekalan 30 juta liter padu sehari.

“Dalam usaha jangka panjang, pelaksanaan projek Jeniang Transfer yang bernilai hampir RM12 bilion dijangka memperkukuhkan margin simpanan sumber air mentah terawat negeri.

“Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) turut menyumbang RM5.54 juta bagi projek bekalan air luar bandar retikulasi Kedah,” katanya. – WD MY