PUTRAJAYA, 22 April – Kecewa Dengan Laporan Berkenaan……. Pihak Kerajaan kesal dengan Laporan Negara Hak Asasi Manusia 2015 mengenai Malaysia dikeluarkan oleh Amerika Syarikat (AS) yang dianggap berdasarkan maklumat tidak berasas.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini, berkata sebahagian besar laporan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS itu bergantung pada sumber yang boleh dipersoalkan matlamatnya.

“Kerajaan Malaysia kesal dakwaan yang terkandung dalam laporan berkenaan bersifat terpilih dalam memberi gambaran negatif terhadap kerajaan, selain tidak mengambil kira usaha kerajaan melindungi hak asasi manusia.

“Laporan tidak berasas AS ini disediakan tanpa membabitkan konsultasi rasmi dengan pihak kerajaan, walaupun Malaysia dan AS mempunyai hubungan dua hala yang baik.

“Malangnya, pendekatan berat sebelah diambil Amerika Syarikat menolak pemahaman sebenar yang seimbang mengenai fakta bagi kes serta dakwaan dinyatakan dalam laporan berkenaan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, laporan berkenaan jelas mencerminkan penilaian AS yang berat sebelah berhubung perspektif kerajaan dan mengabaikan komitmen serta usaha kerajaan Malaysia berkaitan amalan hak asasi manusia di Malaysia.

Katanya, AS terus mengabaikan hak kedaulatan Malaysia dalam menentukan hal ehwal dalamannya, yang mengambil kira keadaan sedia ada dan ancaman terhadap masyarakat serta tanggungjawab kerajaan melindungi keselamatan, selain mengekalkan keamanan dan ketenteraman di negara ini.

“Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang progresif dan dinamik dengan AS dan percaya ia mampu diperkukuhkan sekiranya AS memahami dengan jelas isu domestik di Malaysia.

“Kerajaan Malaysia terus komited dalam memastikan kenikmatan kebebasan hak asasi seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malaysia akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan setiap rakyat menikmati kebebasan hak asasi tanpa menjejaskan hak orang lain atau ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.

Laporan Negara Hak Asasi Manusia 2015 yang dikeluarkan AS itu sebagai sebahagian daripada Laporan Tahunan Hak Asasi Manusia Negara yang merangkumi 195 negara dan wilayah. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY