BAGAN DATOH, 22 Okt – Terus Komited….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan dalam kalangan masyarakat India sama ada di bandar, pinggir bandar atau ladang.

Ahmad Zahid berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat India dalam kalangan parti politik termasuk pembangkang, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk merangka perancangan jangka panjang secara berstruktur bagi menangani masalah berkenaan.

“Kita mahu masalah keciciran pendidikan di peringkat sekolah menengah dalam kalangan masyarakat India diatasi dan masalah gangsterisme dihapuskan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program Ethirkalam (Kejayaan untuk masa hadapan) di Simpang Empat Hutan Melintang tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sehubungan itu meminta masyarakat India bersama kerajaan dalam usaha meningkatkan status sosial dalam kalangan mereka.

“Walaupun kerajaan menghormati perbezaan parti politik dan NGO, masyarakat India perlu bersatu dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya. – WD MY