KUALA LUMPUR, 13 Dis – 24 pakar rujuk de-radikalisasi dan anti keganasan tempatan dilantik untuk membantu kerajaan menangani isu radikalisme dan militanisasi secara holistik sama ada di peringkat nasional dan global.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, ia bertujuan membanteras pengaruh kumpulan Daesh daripada terus berkembang di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Negara Islam Jihad melawan Militan di Universiti Teknologi Malaysia, UTM, ibu negara.

Katanya, tindakan bersepadu akan dilakukan termasuk penguatkuasaan dalam bentuk undang-undang bagi membendung kegiatan berkenaan yang semakin mencabar dalam meluaskan pengaruh mereka di laman sosial.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia, PDRM sedang memantau dua kem latihan ala ketenteraan di Syria dan Kazakhstan yang diwujudkan oleh kumpulan berfahaman Daesh atau Militan Islam, IS.

Perkara itu dimaklum Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Pemantauan menerusi media sosial itu bertujuan menghalang sebarang ancaman dan rancangan mewujudkan kem sedemikian di negara ini.

Gerakan terbabit ujarnya sedang galak mempromosikan usaha perekrutan kanak-kanak di negara Islam khasnya Asia. – Sharini Abdulah /CF (WD MY)

LEAVE A REPLY