PUSA, (Sarawak), 27 Feb – Kerajaan meluluskan pembinaan sebuah
balai polis di Beladin, iaitu kira-kira 12 kilometer dari sini yang dijangka
dapat dimulakan pembinaannya hujung tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak.

Menurut Najib, tender bagi pembinaan balai polis itu akan dikeluarkan
September depan.

“Barang kali pada hujung tahun ini, jika tidak ada apa-apa aral melintang,
projek ini boleh kita mulakan,” katanya.

Najib membuat pengumuman tersebut semasa melancarkan projek pembinaan sebuah
dewan masyarakat di Beladin, hari ini.

Menurut Najib, pembinaan balai polis tersebut adalah bukti keprihatinan
kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

Mengenai pembinaan dewan masyarakat bernilai RM3.6 juta yang dapat memuatkan
sehingga 1,000 orang dan mempunyai tiga gelanggang badminton, Najib berkata
kerajaan telah memenuhi hasrat penduduk Beladin.

Projek pembinaan dewan di atas tanah seluas 1.5 hektar di hadapan Masjid
Beladin Al-Amin itu diluluskan Perdana Menteri semasa lawatannya ke Beladin dua
tahun lalu.

Katanya, projek itu merupakan antara kejayaan yang dibawa kerajaan Barisan
Nasional dan merupakan nikmat yang dikecapi Sarawak yang merdeka dalam Malaysia.

“Kita tak janjikan bulan dan bintang. Kita janjikan yang mampu kita
tunaikan. Inilah kredibiliti kita,” katanya pada majlis yang dihadiri kira-kira
5,000 orang.

Justeru, beliau meminta rakyat agar menilai sendiri siapa yang benar-benar
membantu, menepati janji dan boleh menjadi tempat untuk mereka bergantung
harap. – Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY