PETALING JAYA, 9 Sept – TANGANI…. Malaysia tidak akan membiarkan kerajaan Bangladesh bersendirian dalam menangani isu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh-Myanmar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Malaysia akan melakukan apa yang terdaya bagi memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka.

“Mengikut Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, mutakhir ini bilangannya (pelarian Rohingya) lebih kurang 350,000 orang yang sudah berpindah dan terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.

“Dan di Bangladesh dah ada 500,000 sedia ada orang Rohingya yang melarikan diri sebelum ini, jadi skala malapetaka ini amat besar,” katanya kepada media selepas melepaskan Misi Kemanusiaan – Negaraku Prihatin di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini, hari ini.

Bantuan makanan dan keperluan seberat 12 tan dihantar ke Chittagong di Bangladesh dengan dua pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Perdana menteri berkata satu pasukan peninjau akan turut dihantar ke Dhaka, Bangladesh pada Isnin depan untuk berbincang dengan kerajaan Bangladesh mengenai tindakan susulan yang boleh dilakukan dalam membantu pelarian etnik Rohingya.

Beliau berkata seramai 35 sukarelawan iM4U akan turut dihantar dalam misi kemanusiaan itu.

“Terima kasih kepada kerajaan Bangladesh kerana memberikan kerjasama yang sangat baik untuk (Malaysia) melaksanakan misi kemanusiaan ini,” katanya.

Najib berkata Malaysia terpanggil untuk melaksanakan misi kemanusiaan memandangkan malapetaka yang menimpa etnik Rohingya telah sampai ke tahap begitu dahsyat sekali.

“Kita tak boleh pandang ringan kerana laporan kita terima mereka sedang dizalimi tanpa belas kasihan dengan tindakan yang tidak ada unsur kemanusiaan sama sekali. – WD MY