Kerajaan Mendengar Pendapat Yang Dilontarkan Mahasiswa – TPM Ahmad Zahid

0
71

PUTRAJAYA, 7 Sept – LONTARKAN…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sentiasa meraikan dan mendengar pendapat berlainan yang dilontarkan pihak mahasiswa.

“Dalam setiap perbezaan pendapat itulah kita perlu mencari intipati yang boleh diketengah kepenggunaannya. Bagaimanapun dalam meraikan perbezaan pendapat, haruslah ada ketertiban,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian sempena mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mesyuarat MPPK itu merupakan platform kepada kepimpinan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) menyuarakan isu, cadangan dan pandangan dalam menambah baik dasar-dasar kerajaan.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pemimpin yang mewakili mahasiswa di IPT masing-masing agar berhati-hati membentangkan pendapat dan resolusi kerana keputusan yang dibuat pada mesyuarat MPPK akan turut memberi kesan kepada anak cucu akan datang.

Menurut Ahmad Zahid, antara tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan hasil mensyuarat MPPK terdahulu termasuk penekanan terhadap aspek kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa demi pembentukan sebuah komuniti yang bersifat penyayang melalui Program Gap Year.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengambil maklum hasrat MPPK untuk memberi pandangan berhubung pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada perniagaan dalam talian, isu-isu ekonomi khususnya melibatkan perjanjian perdagangan antarabangsa dan kerjasama ekonomi dengan negara kuasa besar dalam ekonomi dunia.

Katanya MITI akan mengundang MPPK dalam program berkaitan pada masa akan datang.

Mengenai cadangan supaya Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) memberi diskaun yang lebih meluas, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah mengambil langkah untuk menambah kalangan rakan dagang dalam sektor yang lebih relevan dengan keperluan mahasiswa.

Sehingga kini, terdapat 271 rakan dagang bagi KADS1M melibatkan 444 cawangan di seluruh Malaysia.

 

Ahmad Zahid turut memaklumkan mesyuarat itu bahawa Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih mengekalkan kadar pinjaman supaya kadar hutang PTPTN tidak meningkat berdasarkan kadar pinjaman dan kelayakan yang ditetapkan. – WD MY