MELAKA, 4 Mac – Anggota Dewan Undangan (ADUN) PAS Dr Md Khalid
Kassim hari ini menyokong tindakan kerajaan Melaka untuk melarang penjualan
minuman keras di rangkaian kedai serbaneka 24 jam dalam kawasan majoriti
penduduk Islam.

Dr Md Khalid yang juga ADUN Bukit Baru turut memuji tindakan kerajaan negeri
yang disifatkannya sebagai penting dalam menjaga kepentingan umat Islam di
negeri ini.

“Ada yang melihat tindakan ini agak kecil tetapi apa yang perlu dilihat
adalah makna serta kesannya yang cukup besar,” katanya ketika membahaskan usul
ucapan terima kasih kepada ucapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil
Yaakob sempena perasmian persidangan DUN Melaka di sini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron ketika menggulung ucapan itu
berkata sokongan daripada Dr Md Khalid itu merupakan pembakar semangat untuk
kerajaan negeri terus berusaha menjaga kebajikan umat Islam di negeri ini.

Usul itu kemudian diluluskan dewan dengan suara terbanyak.

Keputusan melarang penjualan arak itu dibuat pada Mesyuarat Exco Kerajaan
Negeri Melaka pada 28 Jan lepas. Ia bagaimanapun mendapat reaksi negatif
antaranya daripada Speaker DUN Selangor Hannah Yeoh yang dilapor tidak setuju
dengan tindakan itu dan berkata ia bukan perkara serius yang perlu dibangkitkan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY